Isu LLA, nyahsenarai masih hantui FGV - Firma | DagangNews Skip to main content

Isu LLA, nyahsenarai masih hantui FGV - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 1 Mac - Di sebalik pelbagai isu yang membelenggu FGV Holding Bhd. sepanjang tahun ini, syarikat perladangan ini akhirnya merekodkan prestasi terbaik dalam tempoh 5 tahun. 

 

FGV yang disenaraikan pada 2012 itu merekodkan untung bersih sebanyak RM150 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding kerugian bersih RM246 juta bagi tempoh sama 2019.

 

Perolehan bagi tahun kewangan itu juga meningkat 6% kepada RM14.1 bilion berbanding RM13.26 bilion tahun sebelumnya.

 

MIDF Research dalam nota kajian berkata, prestasi kumpulan bagi tahun tersebut amat memberangsangkan apabila ia kembali mencatat keuntungan terutama didorong oleh harga minyak sawit mentah yang tiggi dan segmen gula semakin bertambah baik. 

 

"Kami berpendapat, harga minyak sawit mentah yang menguntungan dan juga pengeluaran sederhana buah tandan segar (BTS) akan menjana prestasi kewangan lebih baik bagi kumpulan pada masa akan datang. 

 

"Dalam masa sama, harga jualan purata (ASP) bagi gula bertapis dan peningkatan jualan dapat membantu MSM Malaysia Holdings Bhd mengurangkan kerugian bagi suku seterusnya," katanya.  

 

Baca : Untung bersih FGV melonjak 88%, terbaik dalam 5 tahun

 

Tetapi, firma itu melihat masih wujud ketidaktentuan yang akan menjejaskan kedudukan dan operasi kumpulan FGV pada masa akan datang terutama penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) dengan Felda dan pengambilalihan kesemua kilang sawit FGV. 

 

Ketika ini, Felda dalam proses menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian dan bercadang tidak mengekalkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia. 

 

Melalui Maybank Investment Bank, Felda membuat tawaran mandatori ambil alih dengan tawaran RM1.30 sesaham dan tawaran penerimaan ini dilanjutkan untuk kali ketiga sehingga 15 Mac ini. 

 

Setakat 25 Februari, Felda dan pihak yang bertindak bersama memiliki 76.41% pegangan dalam FGV.

 

"Jika kilang sawit ini diambil alih Felda, ini akan menjejaskan prospek perniagaan FGV walaupun senario ini masih lagi di peringkat awal," katanya. 

 

Namun, di sebalik isu sekatan import minyak sawit FGV ke Amerika Syarikat (AS) ekoran dakwaan penggunaan buruh paksa, MIDF Research optimis prospek kumpulan kekal kukuh. 

 

"Ini kerana kumpulan akan meninjau semula pelantikan firma audit bebas untuk menjalankan operasi audit bagi tempoh yang munasabah dan terus berhuhung dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) sebaik sahaja juruaudit bebas dilantik," jelasnya. 

 

MIDF Research menyelaraskan semula unjuran dividen FGV kepada 3 sen berbanding 2 sen sebelum ini bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 berdasarkan keupayaan kumpulan mengisytiharkan dividen 3 sen sesaham bagi 2020. 

 

Pendapatan bagi 2021 dan 2022 juga dijangka meningkat 4% dan 3.1% kepada RM323.4 jutad an RM361.3 juta dengan mengambil kira prestasi kewangan lebih baik menerusi segmen gula. 

 

Harga sasaran (TP) juga dinaikkan kepada RM1.31 berbanding RM1.27 sebelum ini, menurut firma itu. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'Pegang' terhadap saham FGV dan juga TP dengan mengambil kira tawaran pengambilalihan yang masih tertangguh. 

 

"Kami menaikkan unjuran untung bersih bagi 2021 dan 2022 yang mencerminkan anggaran harga minyak sawit mentah lebih tinggi menaik taraf pendapatan bagi MSM. 

 

"Tetapi, kami mengekalkan penarafan 'Pegang' buat FGV dengan TP pada RM1.30 sesaham berdasarkan harga tawaran ambil alih oleh Felda," katanya. 

 

Firma itu berpendapat, peningkatan harga saham FGV adalah terhad ekoran kebimbangan mengenai keputusan Felda untuk menyahsenarai FGV jika agensi itu memiliki 90% atau lebih pegangan dalam FGV. - DagangNews.com