ITMAX raih kontrak berjumlah RM105.32 juta bagi penyediaan perkhidmatan pengawasan video daripada MBJB | DagangNews Skip to main content

ITMAX raih kontrak berjumlah RM105.32 juta bagi penyediaan perkhidmatan pengawasan video daripada MBJB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - ITMAX System Berhad menerusi Southmax Sdn. Bhd. berjaya mendapatkan kontrak daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berjumlah RM105.32 juta bagi menyediakan perkhidmatan pengawasan video.

 

Kumpulan itu berkata, perkhidmatan itu merangkumi pusat arahan pintar dan sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan berdasarkan langganan perkhidmatan di majlis bandaraya itu.

 

"Perkhidmatan itu adalah bagi tempoh 180 bulan bermula 20 September 2023 hingga 19 September 2038.

 

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Syarikat sehingga tamat tempoh kontrak itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Menerusi kontrak itu, Southmax perlu menyediakan bon prestasi sebanyak RM175,530 dengan tempoh sah bermula 20 September 2023 hingga 19 September 2039.

 

Kumpulan itu juga perlu menyediakan polisi insurans liabiliti awam berjumlah RM2 juta polisi pampasan pekerja berjumlah RM21.06 juta dan polisi insurans kerja berjumlah RM105.32 juta bermula 20 September 2023 hingga 19 September 2038.

 

"Mereka juga perlu melaksanakan program Latihan Profesional Dan Pendidikan Untuk Usahawan Berkembang Sedia Untuk Bekerja (PROTEGE-RTW) seperti yang ditetapkan oleh kerjaan berdasarkan jumlah kontrak dengan bilangan minimum untuk 43 orang peserta.

 

"MBJB akan mengenakan ganti rugi pasti (LAD) sebanyak RM23,083 sehari ke atas syarikat itu sekiranya berlaku kegagalan atau kelewatan dalam menyediakan perkhidmatan itu," katanya.

 

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Sistem ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, kontrak itu membantu mengukuhkan kedudukan pihaknya dalam industri rumusan bandar pintar.

 

Katanya, kontrak itu membuka pintu untuk potensi kerjasama selanjutnya dengan majlis tempatan lain di Johor untuk rumusan bandar pintar.

 

"Lonjakan permintaan bagi rumusan bandar pintar adalah sejajar dengan inisiatif pendigitalan kerajaan.

 

"Kami akan terus mencari peluang dan meluaskan capaian geografi merentasi negeri yang berbeza di Malaysia," katanya.- DagangNews.com