Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus mengenal pasti dan memantau kawasan berisiko tinggi berdepan insiden lambakan kayu hanyut, gelinciran tanah dan kejadian kepala air.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, JPSM menggunapakai aplikasi sistem 'Forest Monitoring Using Remote System', penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara waktu sebenar.
Jelasnya, langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri berikutan insiden sedemikian yang direkodkan di beberapa negeri ekoran hujan lebat serta banjir besar.
"Saya meminta JPSM untuk mengemukakan laporan terbabit dan langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.
"JPSM diminta kenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan lipur yang belum dipasang sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan itu selamat kepada penduduk setempat dan serta awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, dasar kerajaan Persekutuan adalah jelas, dalam sektor pengurusan perhutanan, iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan atau 'Sustainable Forest Management'.
"Ia merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih atau 'Selective Management System' sejak 1978, Catuan Tebangan Tahunan 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan 'Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification' (MC&I) 2012," katanya.
Beliau berkata, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan peringkat negeri.
"Kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk 'Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan' pada tahun 2016. Ia sebagai rujukan utama kepada jabatan perhutanan negeri.
"Garis panduan ini mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti hutan. Ia memberi penekanan terhadap beberapa amalan baik hutan seperti tidak membenarkan aktiviti pengusahasilan semasa musim hujan.
"Selain itu, keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi pengusahasilan yang melebihi 500 hektar, penandaan kawasan pengusahasilan dan larangan tebangan pokok dalam zon penampan sungai," katanya.
Takiyuddin berkata, kementerian komited dalam memastikan kekayaan sumber asli terus dijaga, diuruskan dengan mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.
"Dalam hubungan ini, saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama kementerian memastikan dasar kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara mampan seterusnya masa depan generasi akan datang," katanya.
Pada Mesyuarat Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bulan lalu, MTN memutuskan pelaksanaan moratorium ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di semenanjung bagi tempoh 15 tahun dan penguatkuasaan serta penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam HSK di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun ini.
Perdana Menteri juga menekankan agar semua kerajaan negeri di semenanjung mengambil tindakan ke arah meningkatkan kawasan berhutan sedia ada daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang 2040, selari dengan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) yang diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-39 pada 21 Oktober lalu.
Dalam aspek penyelarasan dasar antara kerajaan persekutuan dan negeri, Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penubuhan MTN, bertujuan menyeragamkan dasar bagi memaju dan mengawal penggunaan tanah untuk tujuan perlombongan, perhutanan, pertanian dan apa-apa maksud lain. - DagangNews.com