Jaguar XE baharu tampil lebih sporty & cekap | DagangNews Skip to main content

Jaguar XE baharu tampil lebih sporty & cekap

 Jaguar XE baharu

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Model terbaharu Jaguar XE dinaiktaraf dengan gaya yang lebih sporty dan cekap selain dilengkapi dengan rekaan yang lebih mengagumkan.

Jaguar dalam kenyataannya hari ini berkata, model tersebut juga turut dinaiktaraf dengan hiasan dalaman dan luaran yang mewah bersama teknologi yang canggih.

"Jaguar XE baharu dilancarkan dengan reka bentuk luaran XE yang diperkemas dengan elemen grafik baharu selain diserlahkan dengan rekaan elemen sporty yang diilhamkan daripada sayap pesawat.

"Model ini juga kelihatan lebih lebar dan rendah berbanding rekaan sebelumnya. Model ini direka dengan bukaan depan yang lebih besar, ketebalan grafik dan bentuk kenderaan yang memberi kepantasan kepada aerodinamik," jelas Jaguar.

Lampu depan Jaguar XE yang baharu direka dengan tanda Blade 'J' yang bercahaya menyerlahkan lagi kenderaan tersebut.

 Jaguar XE baharu

Manakala bahagian belakang pula dilengkapi dengan rekaan bumper dan lampu LED yang dinaiktaraf dengan konsep grafik yang memberi pandangan lebih besar pada kenderaan.

Bagi bahagian dalaman kenderaan itu, tempat duduk yang sporty diserlahkan dengan jahitan kontras, pedal gear Satin Chrome dan plat pemijak R-Dynamic.

Rekaan dalaman Jaguar XE baharu itu juga menampilkan penggunaan bahan sentuhan lembut selain roda stereng yang dilengkapi dengan I-PACE alelektrik.

Tambah Jaguar, model XE baharu tersebut dikuasakan dengan enjin Jaguar Ingenium P300 yang mampu menghasilkan 300PS kuasa pada 5,5oorpm dan 400Nm antara 1,500 hingga 4,500rpm dengan kelajuan tertinggi 250 kilometer (km/j).

 Jaguar XE baharu

Selain kecanggihan rekaan, model terbaharu itu juga menampilkan teknologi keselamatan kepada pemandu.

"Keadaan pemandu dapat diukur dan dipantau berdasarkan tahap stereng, pendikit dan brek serta dapat mengenalpasti laluan melalui penunjuk arah pemandu.

"Sekiranya sistem mengesan pemandu sedang berada dalam keadaan mengantuk, simbol cawan kopi akan muncul sebagai amaran kepada pemandu untuk berehat seketika," jelas Jaguar.

 Jaguar XE baharu

Jaguar XE baharu dijual dengan harga bermula RM395,831.02 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga tersebut adalah termasuk pengecualian Cukai Jualan sebanyak 50% seperti yang termaktub dalam pakej rangsangan ekonomi PENJANA. - DagangNews.com