JAKS meterai MOU dengan TDM-YT Plantation bangunkan loji PV solar LSS5 di Terengganu | DagangNews Skip to main content

JAKS meterai MOU dengan TDM-YT Plantation bangunkan loji PV solar LSS5 di Terengganu

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Julai – JAKS Resources Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan TDM-YT Plantation Sdn Bhd, anak syarikat TDM Berhad.

 

Kerjasama ini tertumpu terutamanya kepada cadangan pajakan tanah di Ladang Bukit Bidong, Setiu, Terengganu untuk pembangunan loji fotovoltaik suria (PV) di bawah Program Solar Skala Besar kelima Suruhanjaya Tenaga (LSS5).

 

Ketua Pengarah Eksekutif JAKS Andy Ang Lam Poah berkata, MOU tersebut membolehkan JAKS mendapatkan pajakan tanah yang penting untuk projek LSS5 syarika itu.

 

"Perkongsian kami dengan China Power Engineering Consulting Group International Engineering Co. Ltd. mempunyai potensi untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di  Terengganu dan membawa manfaat kepada masyarakat setempat.

 

"Dengan memanfaatkan kekuatan, keupayaan dan rekod prestasi kami yang kukuh dalam projek tenaga boleh diperbaharui, kami yakin dengan kejayaan inisiatif ini." 

 

 

TDM

 

 

Majlis MOU tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja (Dato' Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil), dan Presiden China Power Engineering Consulting Group Co., Ltd. Chen Jiping

 

MOu itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TDM-YT Plantation, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun manakala JAKS Solar Power Holdings diwakili CEO, Ang Lam Poah di Wisma Darul Iman pada Rabu.

 

Dalam kenyataannya, TDM menyambut baik projek ini sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sektor perladangan kelapa sawit dengan menghasilkan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Projek RE ini akan menggunakan sebahagian daripada 2,600 hektar tanah di Ladang Bukit Bidong untuk pemasangan panel solar.

 

"Dengan beralih kepada RE, Terengganu akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil, sekaligus mengurangkan pelepasan karbon dan impak negatif terhadap alam sekitar," kata TDM.- DagangNews.com