Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
Minggu ini, ramai tersenyum lega. Masuk awal tahun baharu, duit i-Sinar sudah diluluskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Banyak agenda dalam kepala disusun atur menanti duit masuk ke akaun. Ada yang sudah dapat sejak 5 Januari lalu.
Terlupa seketika segala resah yang membungkam di hati sebelum itu, segala perasaan marah barangkali sudah reda seketika.
Diselubungi rasa teruja, kita memuat naik status akaun KWSP di media sosial, tidak tahu kenapa ada yang bertindak begini. Malah, ada yang menayangkannya tanpa rasa bersalah. Entah apa motif berbuat demikian.
Berhati-hatilah sebelum membuat sebarang tindakan di luar kawalan diri. Di luar sana ramai yang memerhati.
Sudahlah tidak mengambil kira perasaan orang lain yang permohonan i-Sinar tidak diluluskan, tindakan menunjukkan status kewangan dan akaun peribadi di media sosial mengundang bahaya yang bukan sedikit.
KWSP sendiri telah mengulangi perkara ini berkali-kali. Wang diperoleh hasil titik peluh sendiri itu bukan benda yang mudah untuk diperoleh (memetik kata-kata netizen).
Apatah lagi kerajaan juga sudah menasihati pencarum supaya berwaspada terhadap aktiviti penipuan atau 'scam' dan sentiasa bertindak melindungi maklumat peribadi.
Kebimbangan ini turut disuarakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berikutan terdapat iklan-iklan di media sosial serta dalam talian yang mengumpan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka untuk dilaburkan dalam skim berbaur penipuan sebaik sahaja permohonan program pengeluaran Akaun 1 i-Sinar diumumkan kerajaan.
Sejak akhir-akhir ini juga, banyak status berlegar-legar di media sosial, apa boleh dibuat dengan wang RM10,000, dimuat turun individu yang mengiktiraf diri mereka seolah-olah 'pakar kewangan''.
Bank Negara Malaysia sudah pun memberi amaran mengenai perkara ini sejak awal Disember lalu, apabila penolong gabenor, Fraziali Ismail berharap ahli KWSP tidak membuat pelaburan yang salah dan mendatangkan risiko setelah menerima i-Sinar.
Dalam hal ini, adalah lebih elok dapatkan saluran yang betul jika betul-betul mahu membuat pelaburan, kerana sekali tersalah langkah, duit yang hilang itu tidak dapat dikembalikan.
Apatah lagi, dengan mengambil kira lonjakan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, bila-bila masa sahaja perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dilaksanakan semula.
APA PENDAPAT PAKAR EKONOMI?
"Pertimbangan mengenai (pelaburan ini) harus mengambil kira faktor risiko. Pulangan yang diterima daripada KWSP sememangnya kompetitif.
"Sekiranya mereka mengeluarkan wang KWSP bagi tujuan pelaburan, sebaiknya prospek pulangan pelaburan perlulah sekurang-kurangnya sama atau lebih daripada apa yg ditawarkan oleh KWSP," jelas Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada DagangNews.com hari ini.
Menurut beliau, para pencarum perlu memahami konsep risiko dan pulangan pelaburan kerana semakin tinggi pulangan pelaburan maka semakin tinggilah pula risikonya.
Sehubungan itu, katanya, langkah paling selamat adalah pertama, mengekalkan simpanan dalam KWSP kerana pulangan yang diberikan juga kompetitif.
"Kedua, sekiranya mahu melabur, pilihlah skim pelaburan yang berisiko rendah. Ini bagi mengelakkan nilai prinsipal tidak berkurangan.
"Pelaburan seperti ASB, Tabung Haji adalah antara peluang pelaburan yang dikira selamat dan berisiko rendah," katanya.
Jelas Mohd. Afzanizam, pengeluaran i-Sinar ini, hakikatnya adalah untuk meringankan beban kewangan bagi mereka terjejas akibat COVID-19.
Sekiranya pencarum atau ahli KWSP yang aktif membuat keputusan untuk berbelanja dengan sesuka hati, maka ia adalah satu kerugian besar kerana wang yang sepatutnya disimpan dan digunakan semasa hari persaraan telah pun digunakan sekarang, tegas beliau.
"Apatah lagi jika mereka memilih untuk melabur ke dalam pelaburan yang berisiko tanpa pengatahuan, kemahiran dan pengalaman, ini boleh mendatangkan mudarat kepada wang yang dikeluarkan," katanya.
Sesungguhnya, keputusan bagi penggunaan wang tersebut adalah tertakluk kepada budi bicara serta kebijaksanaan seseorang.
PANDUAN PAKAR KEWANGAN
Dalam hal ini, pakar kewangan, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri mempunyai panduan berguna buat pencarum KWSP supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Beliau yang juga Timbalan Dekan, Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, pencarum yang baru mendapat i-Sinar dinasihatkan untuk menyemak semula kedudukan kewangan diri dan keluarga.
"Bagi mereka yang sudah berkeluarga, adalah disarankan untuk bincang bersama pasangan mengenai aliran tunai keluarga.
"Buat analisis daripada segi pendapatan dan perbelanjaan. Di sini dapat membantu mereka untuk membuat pengubahsuaian ke atas corak pengurusan kewangan keluarga," katanya.
Berikut adalah panduan berguna yang dikongsikan :
- Langkah asas yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bajet atau rancangan perbelanjaan
- Senaraikan keperluan perbelanjaan utama dan peruntukan peratus perbelanjaan yang sesuai mengikut item perbelanjaan seperti keperluan harian, bayaran pinjaman, pendidikan, perubatan, pengangkutan dan sebagainya.
- Paling penting adalah pastikan perbelanjaan mengikut keutamaan seperti apa yang telah disenaraikan (checklist).
- Utamakan keperluan berbanding kehendak. Jangan salah guna kemudahan yang diberikan untuk perbelanjaan kurang penting seperti membeli gajet dan memenuhi aktiviti riadah serta hobi.
- Kurangkan aktiviti pembelian secara dalam talian (online).
- Jika ada lebihan, bolehlah diagihkan sedikit sebagai simpanan kecemasan.
Baca : Gembira terima bayaran i-Sinar, dahulukan keutamaan keluarga
Baca : 2.5 juta pencarum lulus i-Sinar Kategori 1
Bahkan Mohamad Fazli juga menyarankan wang itu boleh juga digunakan sebagai yuran untuk menghadiri kursus atau bengkel jangka masa pendek untuk meningkatkan kemahiran diri seperti kursus masakan, jahitan dan membaiki gajet.
"Kemahiran yang ada boleh digunakan untuk menjana pendapatan tambahan buat diri dan keluarga," katanya.
Bagi mereka yang terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan, wang yang diterima boleh digunakan sebagai modal asas untuk menjalankan perniagaan dalam talian.
"Bagaimanapun, sebelum memulakan perniagaan, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran berkaitan dengan perniagaan yang ingin dijalankan.
Beliau berkata, terdapat pelbagai bentuk program yang ditawarkan oleh agensi tertentu berkaitan dengan ekonomi digital yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Selain, itu, mereka juga perlu melakukan kajian pasaran ke atas bentuk perniagaan yang ingin dijalankan," katanya.
Jadi, kepada semua pencarum, pastikan permulaan kehidupan di awal tahun ini lebih berfaedah dan bermanfaat dengan kemudahan yang diberikan kerajaan.
Jangan sesekali biarkan i-Sinar ini menjadi i-Geram, terperangkap dengan jerat pelaburan dan pantang tengok. - DagangNews.com