Jelajah AKM: Belia disaran beri idea kepada kerajaan bagi jayakan Program Idea Bina Negara | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM: Belia disaran beri idea kepada kerajaan bagi jayakan Program Idea Bina Negara

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

SHAH ALAM 20 Ogos - Golongan belia disaran memberikan idea dan aspirasi terhadap sebarang permasalah serta keperluan mereka kepada kerajaan dalam usaha untuk menjayakan Program Idea Bina Negara Anak Muda Keluarga Malaysia, bermula hari ini.

 

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria berkata, isu yang paling dekat dalam kalangan belia ketika ini lebih kepada peluang pekerjaan dan pendidikan.

 

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan telah memberikan jaminan 600,000 peluang pekerjaan menerusi kerjasama Kementerian Sumber Manusia selain meningkatkan kemahiran di kalangan anak muda.

 

"Kita dapati keprihatinan kerajaan yang tidak akan membiarkan anak muda negara ini tanpa hala tuju.

 

"Anak muda adalah yang akan mewarisi negara kita dan mereka perlu bijak untuk menentukan kerajaan yang berupaya memastikan negara ini sentiasa aman dan sentosa," katanya selepas menyempurnakan Pra-Pelancaran Program Idea Bina Negara Anak Muda Keluarga Malaysia di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

 

Pandangan serta idea itu boleh disalurkan bermula menerusi laman web https://www.ideabinanegara.my/. 

 

pmo

 

Sollehuddin berkata, kajian sikap dengan anak muda telah dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

Katanya, program Idea Bina Negara Anak Muda itu adalah lebih mendalam bagi memupuk dan menunjukkan kepada golongan muda bahawa kerajaan sentiasa bersama mereka.

 

"Idea yang diterima juga bertujan dalam merangka belanjawan bagi tahun 2023 selain memupuk semangat cintakan negara dan semangat cintakan negara dalam kalangan anak muda," jelasnya.

 

Program tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 4 Oktober 2022 yang turut disertai 25,000 anak muda secara penstriman langsung. - DagangNews.com