Jenayah kewangan libatkan kehilangan RM24.2 juta tunjukkan sistem perlindungan bank tidak mencukupi - SPCAAM | DagangNews Skip to main content

Jenayah kewangan libatkan kehilangan RM24.2 juta tunjukkan sistem perlindungan bank tidak mencukupi - SPCAAM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menegaskan, kejadian jenayah kewangan melibatkan kehilangan sejumlah RM24.2 juta daripada akaun pelanggan membuktikan sistem perlindungan di bank-bank tidak mencukupi. 

 

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D'Angelus berkata, sistem yang digunakan bank ketika ini dilihat cukup rapuh dan boleh ditembusi sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia mencukupi bagi mengelakkan daripada berlakunya jenayah serta salah guna dana awam.

 

"Bank-bank ketika ini boleh ditewaskan sindiket penjenayah, sekali gus bermaksud perlindungan yang digunakan ketika ini untuk mengelakkan jenayah kewangan adalah tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

Terdahulu, seramai 10 individu termasuk dua pengurus bank yang disyaki terbabit dengan sindiket curi wang deposit tetap berjumlah RM24.2 juta didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

 

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pengurus bank, kontraktor antara 10 didakwa berkait kes curi RM24.2 juta akaun pelanggan MBSB
 

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu berperanan sebagai pengawal selia kewangan negara dan bertanggungjawab sepenuhnya.

 

Katanya, sebagai permulaan, BNM sewajarnya melaksanakan siasatan menyeluruh dan mendedahkan kepada umum mengenai kelemahan perlindungan risiko dalam industri perkhidmatan kewangan yang menyebabkan sindiket jenayah terancang menyalahgunakan sejumlah besar dana awam. 

 

"Perlindungan dalam industri perkhidmatan kewangan itu seharusnya tidak hanya mampu bersaing dengan sindiket jenayah terancang, sebaliknya kekal berada di hadapan.  

 

"Sebagai sebahagian daripada siasatannya, BNM seharusnya meneliti sama ada bank-bank mempunyai jumlah kakitangan yang mencukupi dengan tahap latihan bersesuaian untuk menguruskan risiko yang dihadapi sistem terbabit," katanya.

 

Pada masa sama, beliau berkata, Bank Negara juga perlu menilai sama ada perkhidmatan yang disumber luar dan di luar pesisir mewujudkan lebih banyak risiko untuk sektor berkenaan. - DagangNews.com