JHM Consolidation diunjur terus dibebani kelemahan ekonomi global ekoran kelembapan permintaan – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

JHM Consolidation diunjur terus dibebani kelemahan ekonomi global ekoran kelembapan permintaan – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - JHM Consolidation Bhd diunjur terus dibebani kelemahan ekonomi global, terutamanya, segmen perindustrian kumpulan disebabkan oleh kelembapan permintaan untuk fabrikasi kepingan logam dan pemesinan kawalan berangka komputer (CNC) yang memenuhi keperluan industri semikonduktor.

 

Kenanga Research berkata tempahan automotif yang agak stabil tidak dapat menampung peningkatan kos tetap daripada aset baharunya yang kurang digunakan.

 

Ini termasuk perniagaan kedap kaca hermetik, kerjasama dengan Jiangsu Dekai Auto Parts Company Ltd untuk pemasangan lampu depan dan usaha sama dengan Mass Precision Inc untuk fabrikasi peralatan bahagian hadapan.

 

Firma penyelidikan itu berkata prestasi JHM dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) mengecewakan, namun keuntungan bersih teras suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) naik hampir tiga kali ganda suku ke suku (QoQ) didorong kawalan kos yang lebih baik tetapi pendapatannya masih menyusut sebanyak 16%.

 

“Ia akan terus dibebani oleh kos tetap daripada aset baharunya yang kurang digunakan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini, sambil mengurangkan ramalan keuntungan bersih FY23 sebanyak 21%.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ dan harga sasaran (TP) sebanyak 70 sen sesaham.

 

Menurut Kenanga Research, keuntungan bersih teras 9MFY23 menyusut 14.9% YoY kepada RM10.4 juta, merangkumi unjuran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing sebanyak 55% dan 49%.

 

“Varians terhadap ramalan kami sebahagian besarnya datang daripada kos pentadbiran yang tinggi dan overhed yang tidak diserap berpunca daripada penggunaan aset baharunya tidak optimum,” katanya.

 

Firma itu berkata ia menyukai JHM kerana pendedahannya dalam pasaran LED automotif yang semakin berkembang dan ia menjadi proksi kepada peningkatan permintaan untuk peralatan ujian 5G.

 

Di samping itu, kumpulan itu memiliki margin yang lumayan disebabkan usahanya menjadi pengedap kaca hermetik.

 

Setakat pukul 11:27 pagi ini, saham JHM kekal pada 74.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM451.5 juta.  - DagangNews.com