JLand, Iskandar Investment dan kumpulan perladangan penerima manfaat utama JS-SEZ - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

JLand, Iskandar Investment dan kumpulan perladangan penerima manfaat utama JS-SEZ - Maybank IB

Tanah milik kumpulan perladangan di Johor menjadi tumpuan industri hartanah dan pemain pusat data.- Gambar Lee Eng Keat
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pemaju hartanah milik kerajaan dan kumpulan syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia merupakan pihak yang paling mendapat manfaat daripada penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Pemaju hartanah berkenaan ialah Johor Land Berhad (JLand) dan Iskandar Investment Bhd (IIB) manakala kumpulan perladangan ialah SD Gutrie, KL Kepong, Johor Plantations Group dan Genting Plantations, demikian menurut analisis terkini firma penyelidikan itu.

 

"JLand - Cabang hartanah Johor Corporation, yang kini sedang menguruskan projek utama IBTEC (Ibrahim Technopolis) seluas 7,290 ekar di Sedenak.

 

"IBTEC akan memasukkan perumahan, hartanah komersial, dan hartanah industri dalam fasa seterusnya pembangunannya. Projek lain termasuk pembangunan semula bandar Arena Larkin seluas 180 ekar.

 

"IIB, milik bersama oleh Khazanah, KWSP, dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, memiliki tanah seluas 5,000-6,000 ekar di Iskandar Puteri. IIB merancang melancarkan projek perumahan pertamanya, WAWARI, pada suku keempat tahun 2024, yang merangkumi 248 unit rumah berkembar, pusat komersial dan apartmen," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maybank IB senaraikan 6 pemangkin mengapa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan berjaya

 

jland

 

Menurut Maybank IB, selain pemaju hartanah, kumpulan perladangan yang memiliki tanah besar di Iskandar Malaysia turut dijangka mendapat manfaat daripada JSSEZ.

 

Katanya, ini berikutan peningkataan permintaan untuk tanah bagi tujuan pembangunan oleh pemaju hartanah atau pemain pusat data.

 

Ujar firma itu, antara pemilik tanah terbesar di daerah Kulai termasuk SD Guthrie, KLK, Johor Plantations dan Genting Plantations yang kesemuanya kini mempunyai peluang untuk memanfaatkan potensi pembangunan di kawasan tersebut.

 

"Ketika ini, pasaran hartanah Johor, terutamanya bagi hartanah industri, sedang mengalami pertumbuhan yang pesat, tetapi juga menimbulkan cabaran kepada pemaju kecil seperti AME Elite untuk mendapatkan tanah dengan kos yang lebih rendah.

 

"Kesemua ini mencerminkan perubahan landskap ekonomi dan pembangunan di wilayah selatan Johor dengan penuh harapan untuk masa depan," jelasnya.

 

Sementara itu, Perjanjian JSSEZ dijangka ditandatangani pada September 2024, dengan butiran mengenai insentif pelaburan (termasuk cukai) dijangka diumumkan pada Oktober 2024 semasa pembentangan Belanjawan 2025. 

 

"Kawasan JSSEZ kemungkinan akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia (IM) dan bukannya hanya satu kawasan dalam Iskandar Malaysia. 

 

"Kawasan ini dijangka merangkumi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai (termasuk Sedenak), Pengerang, dan Pontian. 

 

"Walaupun kawasan yang lebih besar mungkin merendahkan kesan positif ke atas pemaju, ia memastikan pertumbuhan yang lebih seimbang di seluruh wilayah Iskandar Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com