Johor Port capai jumlah muatan lebih 10,000 TEU sejak Jun 2023 didorong komitmen Petronas Chemicals Marketing Labuan | DagangNews Skip to main content

Johor Port capai jumlah muatan lebih 10,000 TEU sejak Jun 2023 didorong komitmen Petronas Chemicals Marketing Labuan

Md. Derick Basir (tengah) bersama Ketua Bekalan & Pengedaran PCML, Hisham Mohamad (di sebelah kanan), Ketua Keberkesanan Organisasi PCML, Mohamad Indrazulkarnain Salleh (di sebelah kiri) dan Pengurusan Kanan Johor Port semasa majlis sambutan kecemerlangan operasi.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Johor Port Berhad telah mencapai jumlah muatan melebihi 10,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEH) sejak permulaan jalinan rangkaian bahagian pertama dari Pengerang ke Pasir Gudang yang dijalankan oleh GU Shipping pada Jun 2023 sehingga kini.

 

Ini merupakan satu lagi kejayaan dicapai ahli kumpulan MMC itu bersama Petronas Chemicals Labuan (PCML) Ltd sempena sambutan pencapaian 100 hari kecemerlangan operasi baru-baru ini.

 

Sepanjang 100 hari beroperasi, Johor Port berkata PCML telah menunjukkan komitmen dalam penghantaran eksport melalui Johor Port, Gerbang Selatan Malaysia, sekali gus meletakkan kepercayaan penuh terhadap Johor Port untuk mengendalikan operasi penghantaran.

 

Johor Port juga telah berjaya memenuhi matlamat operasi tersebut daripada segi keselamatan, kecekapan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar secara konsisten.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata kepercayaan PCML mencerminkan komitmen pelabuhan tersebut terhadap kecekapan dan keselamatan, di samping menjadikan Johor Port sebagai hab perdagangan utama selaras dengan matlamat menjadikannya pelabuhan serba guna yang cekap dan bersepadu di rantau ini."

 

“Melalui perkongsian dengan PCML, Johor Port telah menunjukkan bahawa pengangkutan kargo melalui pelabuhan ini merupakan pilihan yang kos efektif dan cekap berbanding alternatif lain, di samping menawarkan jalinan rangkaian ke pelbagai destinasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sambutan 100 hari kecemerlangan operasi ini merupakan kejayaan yang bermakna dalam penghantaran PCML dan pengendalian operasi untuk Johor Port bersama pihak berkepentingan dan pelanggan yang turut memainkan peranan penting menyokong operasi tersebut.

 

“Komitmen yang tidak berbelah bahagi dan sokongan padu telah menjadi penggerak utama untuk menjayakan operasi tersebut di Johor Port,” ujar Md Derick lagi.

 - DagangNews.com