Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov - UMW Holdings Bhd mencatatkan kenaikan 63.8% dalam jualan automotif kepada 36,358 unit pada Oktober 2021, berbanding 22,193 unit pada September apabila pengeluaran dan jualan kumpulan itu pulih berikutan pelonggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 8,500 unit pada Oktober 2021, dengan Toyota Vios terus menjadi model terlaris, diikuti oleh Hilux dan Yaris.
Jualan pada Oktober meningkat 5.8% daripada 8,033 unit bulan sebelumnya.
"Untuk tahun ini sehingga Oktober 2021, UMWT mencatat jualan sebanyak 54,618 unit, 24.7% lebih tinggi daripada 43,807 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Dalam langkah untuk mempelbagaikan tawarannya dalam segmen kenderaanelektrik, UMWT secara rasminya telah memulakan pengambilan tempahan untuk Toyota Corolla Cross Hybrid, model Toyota yang pertama dipasang secara tempatan dengan Teknologi Hybrid Electric, pada awal November.
"UMWT juga baru-baru ini mengumumkan pengambilan pesanan untuk Toyota Hilux, Fortuner, dan Innova baharu yang dikemas kini," kata UMW dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, syarikat bersekutunya Perodua mencatatkan jualan bulanan yang memecah rekod sebanyak 27,858 unit, pemulihan bulan ke bulan yang mengagumkan daripada 14,160 unit yang didaftarkan pada September 2021.
Perodua Myvi merupakan model paling laris untuk bulan itu, diikuti oleh Axia dan Bezza.
"Dari segi pengeluaran, Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi pernah dikeluarkan dalam tempoh sebulan iaitu 29,803 unit. Untuk 10 bulan pertama tahun ini, Perodua menghantar sejumlah 146,951 unit, 14.5% lebih rendah daripada 171,861 unit yang didaftarkan di tempoh yang sama tahun 2020 terutamanya disebabkan oleh FMCO dan sebahagiannya disebabkan kekurangan cip semikonduktor," katanya. -DagangNews.Com