Jualan lemah segmen makanan tambahan kesihatan, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan DXN Holdings sebanyak 4% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Jualan lemah segmen makanan tambahan kesihatan, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan DXN Holdings sebanyak 4% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan FY24 DXN Holdings Berhad sebanyak 4% selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk jualan yang lebih perlahan bagi segmen makanan tambahan kesihatan dan pemakanan (HDS) kumpulan itu.

 

Selain itu katanya, ia juga kesan daripada jangkaan umum terhadap jumlah jualan yang lebih lemah dalam 10 pasaran utama mereka termasuk Asia Barat, Malaysia, Thailand dan Maghribi selain kadar cukai lebih rendah sebanyak 34% berbanding 36% pada tahun sebelumnya.

 

"Kami menurunkan unjuran pendapatan FY24 berdasarkan jangkaan jualan yang lebih rendah bagi kategori HDS dan pertumbuhan jualan yang lebih rendah bagi pasaran ASEAN," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 16.47% kepada RM78.36 juta pada suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24) berbanding RM67.28 juta pada tahun sebelumnya didorong pendapatan lebih tinggi.

 

Hasil suku tahunan kumpulan juga meningkat 2.52% kepada RM450.29 juta berbanding RM439.22 juta sebelumnya, didorong pertumbuhan jualan berterusan di rantau Amerika Latin dan India.

 

Firma penyelidikan itu percaya, segmen makanan dan minuman dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.

 

Katanya, tawaran harga yang lebih rendah untuk produk itu melindungi daripada potensi kelembapan perbelanjaan pengguna.

 

"Segmen itu akan menjadi fokus utama jualan DXN di Brazil dan Argentina serta pasaran baharu mereka, Afrika," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com