Jumlah pelancong masuk ke Malaysia diunjur melonjak 54% sempena Tahun Baharu Cina 2024 – Trip.com | DagangNews Skip to main content

Jumlah pelancong masuk ke Malaysia diunjur melonjak 54% sempena Tahun Baharu Cina 2024 – Trip.com

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Data daripada Trip.com Group telah mendedahkan bahawa Malaysia akan menyaksikan peningkatan 53.9% dalam pelancongan masuk pada tempoh Tahun Baharu Cina (CNY) tahun ini berbanding tahun lalu.

 

Penyedia perkhidmatan pelancongan global itu berkata, pelancong juga berbelanja lebih 154.2% untuk tempahan dalam tempoh berkenaan.

 

Peningkatan perbelanjaan turut disaksikan merentasi pasaran lain dengan lonjakan besar bagi pelancongan ke Jepun (241.9%), yang menandakan pengembara secara amnya semakin bersedia berbelanja lebih untuk perjalanan mereka.

 

Perbelanjaan purata untuk perjalanan keluar Malaysia sebahagian besarnya mencerminkan perjalanan masuk, meningkat sebanyak 163.4%.

 

“Antara punca peningkatan perbelanjaan mungkin disebabkan pelancongan jarak jauh, dengan lebih ramai pelancong Asia Tenggara keluar dari rantau ini ketika tempoh CNY 2024.

 

“Tahun lepas, 72% daripada pelancongan CNY adalah dalam Asia Tenggara tetapi ini telah menurun lebih separuh (50.2%), dengan separuh lagi melawat ke destinasi lebih jauh,” ulas syarikat itu dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut syarikat itu, negara-negara di rantau ini yang mempunyai cuti umum perayaan itu (Singapura, Malaysia, Vietnam, Indonesia, Filipina, Brunei) melihat lebih banyak perjalanan pada tempoh tersebut berbanding negara yang tiada cuti umum CNY (Thailand, Kemboja, Laos , Myanmar).

 

Negara dengan cuti am CNY membentuk 69.1% daripada semua tempahan rantau ini ketika tempoh perayaan itu, berbanding 59% dalam minggu sebelum CNY.

 

Di samping itu, Trip.com mendapati bahawa pengembara kini merancang perjalanan mereka lebih awal, dengan tempoh tempahan bagi perjalanan dari Malaysia lebih daripada empat kali ganda - daripada 12 hari kepada 51 hari – pada CNY tahun ini berbanding tahun lepas.

 

Sementara itu, taman tema menjadi tarikan paling popular untuk pelancong dari Asia Tenggara, yang mana Hong Kong Disneyland adalah pilihan popular pelancong dari Malaysia, Singapura dan Thailand.

 

Lima tarikan utama lain bagi pelancong Malaysia adalah Universal Studios Jepun; Shanghai Disney Resort; Warner Bros Studio Tour Tokyo – The Making of Harry Potter; dan Tokyo Disneyland.

 

Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, pelancongan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia dan Tahun Baharu Cina secara tradisinya merupakan salah satu tempoh pelancongan puncak di Asia.

 

“Dengan pelancongan bebas visa antara Malaysia dan China, yang merupakan pasaran pelancongan keluar terbesar di dunia dan persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, kami menjangkakan pemulihan industri pelancongan Malaysia akan berterusan,” ujar beliau. - DagangNews.com