Jumlah penganggur di Malaysia berkurang kepada 579,200 ribu orang pada Julai 2023 | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur di Malaysia berkurang kepada 579,200 ribu orang pada Julai 2023

Menurut DOSM, kedudukan tenaga buruh negara dijangka kekal positif dan berkembang secara sederhana pada bulan seterusnya. - Gambar Cecelia Chang
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Bilangan penganggur terus menurun 0.4% kepada 579,200 ribu orang pada Julai 2023, mencatatkan kadar pengangguran 3.4%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Mengulas tentang Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi Julai 2023, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh dilihat berkembang sederhana, merekodkan bilangan penduduk bekerja yang semakin meningkat, manakala bilangan penganggur menurun.

 

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Julai 2023 naik sebanyak 0.1% kepada 16.91 juta orang daripada RM16.89 juta dalam Jun 2023, mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.1%,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Julai 2023 mencatatkan trend menaik yang berterusan, dengan peningkatan 0.2% bulan ke bulan kepada 16.34 juta orang (Jun 2023: 16.31 juta orang).

 

Mengulas mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, kategori pekerja, yang membentuk 75.4% daripada penduduk bekerja, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 12.31 juta orang berbanding 12.30 juta bulan sebelumnya.

 

“Begitu juga, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend meningkat, dengan kenaikan sebanyak 0.4% merekodkan 2.96 juta orang dalam Julai 2023 daripada 2.95 juta pada Jun 2023,” tambahnya.

 

 

dosm

 

 

Menurut Mohd Uzir, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.2% daripada jumlah penganggur, telah menurun 0.5% kepada 464.7 ribu orang (Jun 2023: 466.9 ribu orang).

 

“Mengikut tempoh pengangguran, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.3%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.3 %,” tambahnya.

 

Pada Julai, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 10.9%, dengan bilangan penganggur belia seramai 311.2 ribu orang.

 

Manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 6.8%, merekodkan 444.8 ribu penganggur belia.

 

Menurut DOSM, kedudukan tenaga buruh negara dijangka kekal positif dan berkembang secara sederhana pada bulan seterusnya berikutan prospek ekonomi jangka pendek Malaysia diramal menyederhana pada bulan-bulan mendatang.

 

Jelasnya, ia selaras dengan jangkaan perniagaan yang positif pada suku tahun ketiga, yang disokong oleh kestabilan pasaran buruh, peningkatan dalam pelancongan domestik dan prospek lebih optimistik dalam industri pelancongan kesihatan.  - DagangNews.com