Kabinet sudah letak jawatan, kata Khairy Jamaluddin | DagangNews Skip to main content

Kabinet sudah letak jawatan, kata Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA 16 Ogos - Kabinet sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Khairy Jamaluddin.

 

Dalam catatan di Instagram, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut berterima kasih kepada rakyat yang memberi peluang kepadanya untuk berbakti kepada negara.

 

“Kabinet sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong. Terima kasih untuk peluang itu untuk berbakti kepada negara. Semoga Tuhan merahmati Malaysia,” katanya.

 

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali memberi bayangan tempoh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah selama 17 bulan berakhir selepas selesai mesyuarat Jemaah Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.

 

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat Kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” katanya di Facebook.

 

Kenderaan membawa Muhyiddin memasuki perkarangan Istana Negara melalui pintu utama pada 12.23 tengah hari tadi.

 

Dilaporkan Muhyiddin ke Istana Negara untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Pejabat Perdana Menteri dilaporkan akan mengadakan sidang media khas pada 2 petang ini susulan perkembangan terbaharu kedudukan Muhyiddin. - DagangNews.com