Kadar faedah dijangka kekal tinggi, PublicInvest berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz | DagangNews Skip to main content

Kadar faedah dijangka kekal tinggi, PublicInvest berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Public Investment Bank (PublicInvestment) kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz Corp Berhad dengan jangkaan kadar faedah kekal tinggi berikutan tekanan inflasi.

 

Firma penyelidkan itu percaya bahawa tekanan itu akan membuatkan permintaan terhadap perabot keluaran kumpula itu menjadi perlahan pada masa hadapan.

 

"Walaupun berdepan prospek mencabar bagi jangka pendek, kami optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan didorong komitmen mereka bagi terus membangunkan produk baharu dan reka bentuk inovatif bagi memenuhi pangkalan pelanggan yang lebih pelbagai.

 

"Kumpulan itu juga sedang berusaha untuk menyalaraskan kosnya dengan mempelbagaikan rangkaian pembekal dan ia seharusnya membantu mengurangkan kos input," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Homeritz dijangka terus berdepan peningkatan kos pengeluaran, turun naik kadar tukaran mata wang asing

 

PublicInvest berkata, walaupun kumpulan itu telah mengambil bahagian secara aktif dalam pameran perabot (Jerman, Vietnam dan China) bagi mengukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada dan mencari pelanggan baharu tetapi ia tidak mungkin memberi sebarang kesan terhadap pendapatan.

 

Katanya, memandangkan persekitaran kadar faedah yang tinggi, pihaknya menjangkakan permintaan perabot akan kekal lemah dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 43.4% kepada RM9.1 juta didorong jumlah jualan yang lebih tinggi disebabkan perbelanjaan musim perayaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran 51 sen sesaham," katanya.

 

Sebahagian besar keputusan itu adalah disebabkan peningkatan dalam jualan eksport terutamanya di rantau Asia dan kadar penggunaan yang tinggi sebanyak 70% pada 1QFY24 berbanding 50% pada 4QFY23.

 

Sejajar dengan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi, untung sebelum cukai kumpulan meningkat 46.3% kepada RM12.3 juta.​ - DagangNews.com