Kadar kesuburan Malaysia catat penurunan terendah sejak lima dekad lalu - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar kesuburan Malaysia catat penurunan terendah sejak lima dekad lalu - DOSM

Gambar Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Kadar kesuburan jumlah (TFR) pada 2022 mencatatkan penurunan dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar kesuburan itu merupakan yang terendah sejak lima dekad lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada 1970.

 

"Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak, yang menunjukkan purata bilangan anak dilahirkan seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

 

"Bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 hingga kini. Trend penurunan kadar kesuburan ini berpotensi mengakibatkan krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, penuaan penduduk dan kesan terhadap ekonomi dan sosial," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, merujuk kepada manual 'Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014)', paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan seorang perempuan dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak. 

 

"Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk," katanya.

 

Bagi tempoh 2011 hingga 2022, TFR bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia menunjukkan trend menurun. TFR tertinggi dicatatkan oleh Melayu iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2022. 

 

 

dosm

 

 

Manakala, Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak. Pada peringkat negeri, semua negeri merekodkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu (2.9 anak), Kelantan (2.7 anak) dan Pahang (2.1 anak).

 

Malaysia, bersama beberapa negara membangun seperti Amerika Syarikat (1.7 anak), Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.6 anak), Jepun (1.3 anak) dan Korea Selatan (0.8 anak), telah menunjukkan trend kadar kesuburan menurun di bawah paras penggantian. 

 

Trend yang sama dapat diperhatikan di negara ASEAN seperti Vietnam (1.9 anak), Brunei (1.8 anak), Thailand (1.3 anak) dan Singapura(1.1 anak), manakala Filipina (2.7 anak), Laos (2.5 anak), Kemboja (2.3 anak), Indonesia (2.2 anak) dan Myanmar (2.2 anak) berada di atas paras penggantian.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kelahiran hidup direkodkan pada 2022 adalah 423,124 kelahiran iaitu menurun 3.8% (16,620 kelahiran) berbanding 439,744 kelahiran pada 2021. 

 

Katanya, bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan direkodkan iaitu masing-masing 218,345 dan 204,779. Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) menurun daripada 13.5 kelahiran pada 2021 kepada 12.9 kelahiran bagi setiap seribu penduduk pada 2022.

 

"Semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2022 berbanding 2021 kecuali Sabah yang menunjukkan peningkatan daripada 12.2 (2021) kelahiran kepada 12.8 (2022) kelahiran bagi setiap seribu penduduk. Laporan ini turut membentangkan bilangan kelahiran hidup dan CBR di peringkat daerah pentadbiran di Malaysia. 

 

"CBR tertinggi pada 2022 direkodkan oleh Song, Sarawak dan Kuala Terengganu, Terengganu dengan kedua-dua daerah merekodkan 24.3 kelahiran bagi setiap seribu penduduk. Manakala daerah Kinabatangan, Sabah merekodkan kadar terendah iaitu 4.6 kelahiran," katanya.

 

Beliau berkata, kematian yang direkodkan pada 2022 adalah 206,525 kematian, menurun 8% (18,044 kematian) berbanding 224,569 pada 2021, iaitu selepas pandemik COVID-19. 

 

"Kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.9 (2021) kepada 6.3 (2022) kematian bagi setiap 1,000 penduduk. Bilangan kematian lelaki pada 2022 adalah 117,790 atau 57% daripada jumlah kematian. Manakala, bilangan kematian perempuan adalah 88,735 (43.0%)," katanya.

 

Selain itu, kebanyakan negeri merekodkan penurunan CDR pada 2022 berbanding 2021 kecuali Perlis, Pahang, Perak dan Terengganu. Kuala Lumpur merekodkan penurunan kadar tertinggi dengan 1.7 mata iaitu daripada 6.8 (2021) kematian kepada 5.1 (2022) kematian bagi setiap seribu penduduk. 

 

Melihat kepada peringkat daerah pentadbiran, Kanowit dan Song, Sarawak kedua-duanya merekodkan CDR tertinggi pada 2022 iaitu 14.3 kematian bagi setiap seribu penduduk diikuti Bukit Mabong, Sarawak (13), Selama, Perak (12.2) dan Maradong, Sarawak (12). Manakala daerah Kinabatangan di Sabah mencatatkan CDR terendah iaitu 1.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk diikuti Kalabakan, Sabah (2) dan Samarahan, Sarawak (2.4).

 

Beliau menambah, semua kumpulan umur merekodkan penurunan bilangan kematian kecuali umur 0 hingga 14 tahun iaitu meningkat daripada 4,115 kematian kepada 4,754 kematian pada 2022. 

 

"Kematian umur 41-59 tahun merekodkan penurunan tertinggi iaitu 20.4% daripada 52,282 (2021) kematian kepada 41,640 kematian pada 2022. 

 

"Selain itu, kematian umur 15-40 tahun dan 60 tahun dan lebih masing-masing turut merekodkan penurunan iaitu daripada 17,953 kematian kepada 14,830 kematian dan 150,219 kematian kepada 145,301 kematian," katanya. - DagangNews.com