Kadar pengangguran 3.3% pada April 2024, tidak berubah 6 bulan berturut-turut - DOSM  | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran 3.3% pada April 2024, tidak berubah 6 bulan berturut-turut - DOSM 

Kadar pengangguran di Malaysia pada April 2024 kekal 3.3% -Gambar Etienne Girardet
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jun - Statistik tenaga buruh di Malaysia bagi April 2024 merekodkan kadar pengangguran 3.3%, kekal buat enam bulan berturut-turut sejak November 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, seramai 79.7% daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. 

 

Katanya, dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.7%. 

 

 

"Mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif turun sedikit iaitu sebanyak 0.05% kepada 115,000 orang (Mac 2024: 115.0 ribu orang)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

dosm buruh

 

Sementara itu, katanya, bilangan tenaga buruh pada April 2024 mencatatkan jumlah 17.12 juta orang (Mac 2024: 17.1 juta orang), dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3% seperti pada bulan sebelumnya.

 

Kata Dr Mohd Uzir, bilangan penganggur pada April 2024 pula berjumlah 566,400 orang, berbanding 566,600 orang pada Mac 2024.

 

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau yang juga Ketua Perangkawan Malaysia berkata, kategori pekerja merangkumi 75.1% daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan April 2024. 

 

uzir
DR MOHD UZIR MAHIDIN

 

"Kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1% kepada 12.43 juta orang (Mac 2024: 12.42 juta orang). 

 

"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 0.3% kepada 3.04 juta orang (Mac 2024: 3.03 juta orang),” jelasnya.

 

Mengulas prestasi keseluruhan bagi bulan April 2024, Dr. Mohd Uzir berkata, pasaran buruh pada bulan April 2024 kekal stabil, mencerminkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menggalakkan. 

 

Mengakhiri kenyataan tersebut, katanya, pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dijangka berterusan pada suku seterusnya, disokong oleh corak perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan, serta kedudukan pasaran buruh yang positif dan pertumbuhan pendapatan. - DagangNews.com