KUALA LUMPUR 10 Okt - Bilangan penganggur pada Ogos 2023 terus menurun kepada 577,300 orang, dengan kadar pengangguran 3.4%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi Ogos 2023, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh kekal stabil pada Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.
"Dalam hal ini, bilangan tenaga buruh pada Ogos 2023 bertambah baik, dengan peningkatan 0.1% bulan ke bulan kepada 16.93 juta berbanding 16.91 orang pada Julai 2023. Kadar penyertaan tenaga buruh Ogos kekal pada 70.1% seperti pada Julai 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada Ogos 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan 0.1% kepada 16.35 juta orang berbanding 16.34 juta orang pada Julai 2023.
Sebaliknya beliau berkata, bilangan penganggur pada Ogos terus berkurang, dengan penurunan sebanyak 0.3% kepada 577,300 orang berbanding 579,200 orang pada Julai 2023.
"Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.4% seperti yang direkodkan pada bulan lalu," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, 75.4% daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja dan kategori ini meningkat sebanyak 0.1% mencatatkan sebanyak 12.32 juta orang berbanding 12.31 juta orang pada Julai 2023.
Pada masa yang sama, penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan kenaikan 0.3% kepada 2.97 juta orang berbanding 2.96 juta orang pada Julai 2023.
"Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit, perkhidmatan makanan & minuman dan pengangkutan dan penyimpanan," katanya.
Di samping itu katanya, sektor pembuatan, pertanian, pembinaan serta perlombongan & pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.
Mengulas lebih lanjut mengenai situasi pengangguran pada Ogos, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80% daripada jumlah penganggur.
Katanya, kategori ini terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.6% mencatatkan 462,100 orang berbanding 464,700 ribu orang pada Julai 2023.
"Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.4%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.25%.
"Sementara itu, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif merekodkan peningkatan sebanyak 0.6% kepada 115,200 orang berbanding 114,500 ribu orang pada Julai 2023," katanya.
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus menurun sebanyak 0.1 mata peratus pada bulan tersebut kepada 10.8%, mencatatkan bilangan penganggur belia yang lebih rendah iaitu pada 309,200 orang berbanding 10.9% kepada 311,200 orang pada Julai 2023.
Dalam pada itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.8% seperti pada bulan sebelumnya, dengan 439,600 orang penganggur belia berbanding 6.8% kepada 444,800 orang pada Julai 2023.
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Ogos 2023 meningkat sebanyak 0.1% kepada 7.23 juta orang berbanding 7.23 juta orang pada Julai 2023.
Komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah/tanggungjawab keluarga dengan 42.9% dan seterusnya, 40.1% adalah disebabkan oleh bersekolah/latihan. - DagangNews.com