Kadar penggunaan kilang lebih tinggi, MSM kembali catat untung bersih sebanyak RM42.9 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kadar penggunaan kilang lebih tinggi, MSM kembali catat untung bersih sebanyak RM42.9 juta pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - MSM Malaysia Holdings Bhd kembali mencatatkan untung sebanyak RM42.87 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 berbanding rugi bersih RM44.16 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya. 

 

Ia didorong oleh margin keuntungan dan kadar penggunaan kilang yang lebih baik walaupun berdepan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat 40% kepada RM949.87 juta pada suku berkenaan berbanding RM677.74 juta tahun lepas.

 

Bagi tempoh enam bulan, MSM mencatatkan rugi bersih yang lebih rendah sebanyak RM49.88 juta daripada RM178.71 juta tahun lepas, manakala pendapatannya meningkat kepada RM3.09 bilion daripada RM2.57 bilion sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, keuntungan itu adalah hasil daripada prestasi operasi yang kukuh dipacu kecekapan kos seperti yang disasarkan.

 

Sebagai tambahan kepada prestasi cemerlang MSM Prai, beliau berkata, MSM Johor mencatatkan keuntungan buat kali pertama pada 4QFY23 sekali gus menandakan pencapaian penting sejak dikomersialkan pada 2019.

 

"Fokus kepada penambahbaikan proses akan menjadi fokus utama MSM Johor pada 2024 dan kami optimis dengan prestasi terhadap prospek masa hadapan didorong prestasi yang lebih kukuh serta jualan komersial yang lebih tinggi," katanya.

 

Mengulas mengenai prospeknya, Syed Feizal berkata, pihaknya akan terus mengembangkan pasaran domestik dan eksportnya selain permintaan kukuh di China, Indonesia dan Vietnam.

 

Selain itu kata, pihaknya juga akan meneroka pasaran serantau lain termasuk kawasan ekonomi pertumbuhan tinggi seperti Afrika berikutan peningkatan defisit gula global.

 

Beliau berkata pertumbuhan dalam segmen eksport adalah sejajar dengan inisiatif MSM dalam mengoptimumkan lagi penggunaan kilang penapisan gulanya.

 

"Bagaimanapun, syarikat sedang memantau dengan teliti risiko berkaitan ketegangan geopolitik yang mungkin menjejaskan harga kos input utama selain menghalang prestasi kewangan kami.

 

"Langkah-langkah yang sesuai diambil sewajarnya dalam mengurangkan risiko," katanya.- DagangNews.com