Kajian Separuh Penggal RMK12 perkenal dasar, strategi capai aspirasi Ekonomi MADANI - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kajian Separuh Penggal RMK12 perkenal dasar, strategi capai aspirasi Ekonomi MADANI - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 2021-2025 di Dewan Rakyat pada 11 September 2023.

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang digarapkan Kerajaan Perpaduan bukanlah pendekatan biasa dalam menilai rancangan pembangunan negara, sebaliknya meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi cabaran semasa.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KSP RMK12 dijajarkan semula dengan aspirasi dan visi Ekonomi MADANI, yang dibentangkannya pada 27 Julai bagi merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun serta memacu pembangunan negara dan memperkasa kualiti hidup rakyat.

 

"Negara kini di persimpangan  sama ada mengekalkan dasar dan kaedah lama atau melaksanakan islah (perubahan). Perubahan ini harus mencakup rangka memperbaiki tata kelola, melakukan anjakan dasar, dan memperkenalkan kaedah serta pendekatan baharu mengikut tuntutan semasa," katanya.

 

Membentangkan KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, anjakan secara tegas dan menyeluruh perlu dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan, yang diterajuinya sejak Disember 2022, bagi mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan ekonomi yang betul.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan dan kaedah baharu itu perlu dilakukan susulan ketidakstabilan politik dan wabak COVID-19 sejak awal 2020 yang mengakibatkan rakyat kehilangan mata pencarian, menyusutnya purata pertumbuhan ekonomi serta merosotnya pelabur asing.

 

Bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan mewujudkan subsidi bersasar bagi menampung keperluan asas rakyat, beliau berkata, kerajaan akan menambah siling RM15 bilion dan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, yang diluluskan pada 2021, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.

 

KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” yang memperkenalkan 17 anjakan utama (big bolds) sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi menghasilkan keberhasilan yang disasarkan.

 

Anwar berkata, anjakan bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam, lapor Bernama.

 

"Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, Insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, KSP RMK12 menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, ‘hutang yang membengkak’, ruang fiskal terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan. - DagangNews.com