Kakitangan Bank Islam bawa pulang RM10,000 juarai Pertandingan Pidato Gabenor BNM | DagangNews Skip to main content

Kakitangan Bank Islam bawa pulang RM10,000 juarai Pertandingan Pidato Gabenor BNM

(Dari kiri) Mohamad Amirul Hafiz Mohamad Hassan, Dr Hazami Jahari, Datuk Marzunisham Omar, Muhammad Za'im Mohamad Yusoff dan Syafi'ah Na'imah Samsuddin bergambar selepas tamat Pertandingan Pidato Piala Gabenor BNM peringkat akhir di Sasana Kijang, pada 7 Ogos 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia (Pidato Piala Gabenor) peringkat akhir di Sasana Kijang, semalam.

 

Pertandingan tersebut pada tahun ini dimenangi oleh Muhammad Za'im Mohamad Yusoff dari Bank Islam Malaysia Bhd dengan tajuk pidato “Kelestarian Kewangan Pemangkin Ekonomi Madani”. 

 

Naib johan pula disandang oleh Mohamad Amirul Hafiz Mohamad Hassan daripada MSIG Insurance (Malaysia) Bhd, manakala tempat ketiga jatuh kepada Syafi'ah Na'imah Samsuddin dari Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd.

 

Johan Pidato Piala Gabenor menerima wang tunai sebanyak RM10,000 bersama dengan piala pusingan. Manakala, naib johan menerima RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000. Pemenang juga menerima piala iringan, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

 

Sementara itu, Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, beliau mengalu-alukan usaha jitu BNM dan DBP untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan. 

 

Katanya, pertandingan ini merupakan salah satu inisiatif bagi membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkualiti dalam kalangan warga institusi kewangan. 

 

"Bahasa yang bermutu, jelas dan mudah difahami akan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat dan seterusnya membantu mereka membuat keputusan kewangan yang tepat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

bnm

 

 

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari pula berkata, sektor perbankan, kewangan dan insurans merupakan entiti penting yang membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. 

 

Beliau berkata, selain aspek ekonomi, ciri ketamadunan bangsa turut dilengkapkan dengan pengukuhan nilai insan pembinaan jati diri. 

 

Katanya, hal ini sejajar dengan usaha BNM yang terus komited menganjurkan pertandingan Pidato Piala Gabenor ini dengan penyertaan pelbagai institusi di bawah sektor kewangan membuktikan kesungguhan seluruh warganya memartabatkan bahasa kebangsaan. 

 

"Kepetahan, keyakinan dan keterampilan peserta menterjemahkan idea dalam pertandingan pidato ini telah terus melestarikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu," katanya.

 

Pidato Piala Gabenor pada tahun ini menerima lebih 60 penyertaan mewakili 24 institusi kewangan pada peringkat saringan meskipun telah direhatkan selama tiga tahun berikutan pandemik COVID-19. 

 

Tema pidato popular yang menjadi pilihan peserta ialah Pendidikan Kewangan. Peringkat akhir pertandingan ini menyaksikan lapan peserta daripada enam institusi kewangan menyampaikan pidato masing-masing. 

 

Para peserta pada peringkat akhir berjaya mengharungi cabaran pertandingan pidato melalui pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini. 

 

Antara pembaharuan yang menyegarkan pertandingan ialah pemidato diberikan kebebasan untuk mencipta sendiri tajuk pidato yang ingin disampaikan berdasarkan lima tema yang dipertandingkan. 

 

Peserta pada peringkat akhir ini juga perlu menyampaikan pidato spontan berdasarkan soalan yang diajukan oleh juri. Melalui hujah yang dilontarkan, para peserta menampilkan daya persuasif dan idea yang bernas dalam menyampaikan isu-isu kewangan dan ekonomi semasa. - DagangNews.com