Kali keempat tertangguh, penyerahan OPV1 APMM sepatutnya hari ini sebelum ditunda lagi | DagangNews Skip to main content

Kali keempat tertangguh, penyerahan OPV1 APMM sepatutnya hari ini sebelum ditunda lagi

OPV 1 APMM semasa diuji dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Dis - Buat kali keempat, penyerahan kapal ronda luar pesisir pertama (OPV1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sepatutnya hari ini terpaksa ditangguhkan saat akhir.

 

Difahamkan, majlis penyerahan OPV1 yang akan dibuat di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn. Bhd. di Pulau Indah, Klang, Selangor pada pukul 9 pagi itu ditunda.

 

Beberapa agensi media yang dijemput hadir pada majlis itu juga hanya dimaklumkan tentang pembatalan tersebut pada awal pagi oleh pihak penganjur tanpa memberikan sebab.

 

Laman media sosial Facebook dan X APMM turut memuat naik hantaran bahawa kapal OPV1 akan diserahkan hari ini.

 

Opv
Penangguhan kali keempat OPV1 APMM menimbulkan tanda tanya.

 

Bagaimana pun, tiada sebarang status terbaru tentang penyerahan tersebut setelah ia dibatalkan.

 

Sementara itu, merujuk pada laman pertahanan Malaysia Defence, pihaknya menerima jemputan hadir pada program penyerahan OPV1 lewat petang semalam.

 

Pihak APMM kemudian memaklumkan tentang pembatalan majlis disebabkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi yang dijadualkan hadir perlu menghadiri mesyuarat penting.

 

Terdahulu, penyerahan OPV1 milik APMM itu ditangguhkan sebanyak tiga kali dengan penangguhan terbaru pada 27 November lalu.

 

Kapal

 

Sebelum ini, penyerahan itu sepatutnya dilaksanakan pada Mac lalu namun gagal berbuat demikian disebabkan kelewatan menerima peralatan utama yang ditempah dari luar negara.

 

Antara peralatan utama yang ditempah adalah meriam dari Turkiye dan bot dari United Kingdom.

 

Kemudiannya kapal itu dijadualkan siap dan diserahkan pada Julai lalu namun sekali lagi ditunda pada November.

 

Bulan lalu, OPV1 APMM buat pertama kali terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 bersama 14 buah kapal-kapal lain termasuk aset udara.

 

Sepanjang pelayaran selama empat hari ini, OPV 1 menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.

 

Ini bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada APMM.- DagangNews.com