KBS umum syarat pelepasan cukai yuran latihan sukan sebelum Mac | DagangNews Skip to main content

KBS umum syarat pelepasan cukai yuran latihan sukan sebelum Mac

Hannah Yeoh menghadiri acara 'Datasonic H2O Run, di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 27 Januari 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan syarat  dan insentif yuran mengikuti latihan sukan yang diberi pelepasan cukai seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 sebelum Mac ini.

 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS telah bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperinci terma yang boleh melayakkan orang ramai menikmati pelepasan cukai selepas membayar yuran latihan sukan disertai.

 

"Kita akan umumkan dalam masa terdekat bagi memastikan rakyat bersedia untuk menggunakan insentif cukai ini supaya mereka mula melabur untuk menjalani latihan sukan.

 

“Apabila orang ramai dimaklumkan mengenai pelepasan cukai baharu untuk sukan, mereka akan memulakan perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara larian Datasonic H20 Run 2024 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada Sabtu.

 

Menurut Hannah, 103 jenis sukan telah diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan yuran latihan sukan akan diberi pelepasan cukai berkenaan. 

 

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Institut Sukan Negara sedang memperkasakan kursus kejurulatihan bagi memastikan jurulatih adalah benar-benar bertauliah.

 

"Orang ramai yang hendak membayar yuran latihan sukan perlu memastikan mereka menggunakan khidmat jurulatih bertauliah yang ada sijil latihan sukan. Kami tidak mahu mana-mana pihak membuat resit sendiri (untuk menikmati pelepasan cukai)," katanya.

 

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan akan diperluas dengan merangkumi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan. - DagangNews.com