KDNK Malaysia dijangka lebih kukuh pada 4.4% tahun depan – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

KDNK Malaysia dijangka lebih kukuh pada 4.4% tahun depan – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Maybank Investment Bank menjangkakan ekonomi Malaysia lebih kukuh tahun depan 2024 dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur meningkat kepada 4.4%.

 

Maybank IB meramalkan pertumbuhan KDNK lebih teguh pada 4.4% tahun depan berbanding 3.9% bagi 2023, disokong oleh daya tahan perbelanjaan pengguna, momentum pelaburan swasta dan infrastruktur yang mampan, serta pemulihan perkhidmatan perdagangan dan industri pembuatan, iaitu pelancongan dan elektronik.

 

“Dari segi makroekonomi, kami menjangkakan pertumbuhan global lebih perlahan pada 2024 memandangkan ekonomi Amerikan Syarikat (AS) lembap dan pertumbuhan China semakin perlahan.

 

“Bagaimanapun, kami melihat peningkatan eksport dan industri pembuatan di ASEAN, mendorong prospek pertumbuhan mereka,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, 2024 sepatutnya menjadi tahun permulaan peralihan ekonomi jangka sederhana hingga panjang negara seperti digariskan dalam pelan tindakan, pelan induk, pelan hala tuju dan perundangan yang diumumkan pada Julai hingga Oktober 2023.

 

Ini melibatkan pelaksanaan Ekonomi Madani; Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR); Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030); Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12 MTR); Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR); Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) serta Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA).

 

“Pembaharuan fiskal dan penstrukturan semula ekonomi akan menjadi agenda utama. Elemen utama reformasi fiskal pada 2024 adalah rasionalisasi subsidi bahan api bersasar, manakala perkara utama di bawah penstrukturan semula ekonomi ialah Dasar Gaji Progresif (PWP) untuk menangani kos sara hidup, kecukupan simpanan persaraan dan isu kesaksamaan,” katanya.

 

Maybank IB berkata kerja keras dan usaha berterusan kerajaan adalah penting dalam perubaham ekonomi Malaysia, untuk akhirnya memacu dan menyokong agenda kemampanan jangka panjang.

 

Firma itu berkata komitmen politik adalah kunci untuk penstrukturan dan pembaharuan ekonomi negara, terutamanya melibatkan rasionalisasi subsidi bahan api, di mana pelarasan beransur-ansur dalam harga bahan api akan mengurangkan kesan terhadap inflasi, dengan jangkaan inflasi naik kepada 3% tahun depan daripada 2.6% bagi 2023.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% dalam 2024, walaupun terdapat unjuran pemotongan kadar faedah dalam ekonomi maju utama dan rakan serantau, yang dijangka positif bagi ringgit berbanding dolar AS iaitu 4.40 bagi akhir 2024 berbanding 4.70 akhir 2023.  - DagangNews.com