Keadaan operasi mencabar, TA Research semak turun unjuran pendapatan FY24 Gadang sebanyak 20.7% | DagangNews Skip to main content

Keadaan operasi mencabar, TA Research semak turun unjuran pendapatan FY24 Gadang sebanyak 20.7%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - TA Research menyemak turun unjuran pendapatan FY24 Gadang Holdings Berhad sebanyak 20.7% kesan daripada keadaan operasi yang mencabar.

 

Katanya, unjuran itu juga adalah berdasarkan keputusan separuh pertama berakhir 30 November 2023 (1HFY24) yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatatkan pendapatan teras yang lebih rendah iaitu sebanyak RM7.8 juta dan ia hanya menyumbang 36.6% kepada unjuran tahun penuh.

 

"Keputusan negatif itu adalah berpunca daripada kemajuan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan bagi sesetengah projek dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dalam bahagian pembinaan dan utiliti," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Research berkata, jualan bagi 1HFY24 bagaimanapun meningkat 13.1% kepada RM291.9 juta, hasil jualan yang lebih tinggi yang direkodkan dan kemajuan kerja yang lebih baik di bahagian hartanah.

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukainya susut sebanyak 7.7% kepada RM12.7 juta disebabkan kos operasi yang lebih tinggi untuk loji janakuasa hidro mini 9MW dan hakisan margin di bahagian pembinaan yang disebabkan oleh kos bahan mentah dan tenaga kerja yang lebih tinggi.

 

"Hasil bagi 2QFY24 melonjak 25.5% kepada RM162.4 juta dengan sebahagian besarnya didorong kemajuan pembinaan yang lebih tinggi dan jualan hartanah yang semakin baik dan permulaan operasi komersial loji janakuasa hidro mini 9MW.

 

"Disebabkan peningkatan kos operasi yang ditanggung daripada segmen pembinaan dan utiliti, keuntungan teras kumpulan itu dikurangkan separuh kepada RM4 juta bebranding RM8.7 juta pada 1QFY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga akhir November 2023, buku pesanan pembinaan kumpulan dan jualan hartanah tidak dibilkan masing-masing berjumlah RM1.1 bilion dan RM280 juta, memberikan prospek pendapatan yang jelas untuk kumpulan itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

"Selain itu, bahagian hartanah dijangka menyumbang jualan yang lebih baik pada suku akan datang, disokong oleh insentif pakej jualan yang menarik," katanya.

 

TA Research mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 23 sen berbanding 28 sen sesaham sebelum ini. - DagangNews.com