Kedudukan tunai kukuh mampu 'selamatkan' pengeluar sarung tangan getah harungi cabaran 2022 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Kedudukan tunai kukuh mampu 'selamatkan' pengeluar sarung tangan getah harungi cabaran 2022 - HLIB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 20 Dis  - Ketidaktentuan yang dihadapi pengeluar sarung tangan getah tidak mungkin berkurangan dalam tempoh terdekat dan dijangka berdepan persekitaran mencabar sehingga separuh pertama 2022. 

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Sophie Chua Siu Li berkata, bagaimanapun, kedudukan tunai yang kukuh dapat membantu pemain industri mengharungi tempoh mencabar ini dan mampu menghadapi sebarang perang harga yang mungkin berlaku. 

 

Jelasnya, margin pengeluar sarung tangan getah akan terus tertekan disebabkan harga jualan purata (ASP) merosot lebih cepat berbanding harga bahan mentah, kos operasi lebih tinggi ekoran pematuhan sosial lebih baik dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

"Semakin memburukkan lagi keadaan, perang harga daripada pengeluar sarung tangan China yang cuba menguasai psaran. 

 

"Namun begitu, kami agak lega apabila mendapati syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputan kami mempunyai kedudukan tunai yang besar ketika berdepan kitaran dan juga imbangan tunai yang kukuh, sepatutnya membantu mereka mengharungi saat sukar ini dengan lebih baik," katanya dalam laporan prospek sektor sarung tangan getah bagi 2022 hari ini.

 

ASP sarung tangan getah berdepan penurunan sejak pertengahan 2021, berikutan pelancaran program vaksin secara besar-besar terutama di negara pengguna utama. 

 

Memandangkan liputan vaksin yang lebih baik menjadikan, ia secara tidak langsung mengurangkan keperluan pembeli untuk menyimpan stok. 

 

Pada masa sama, harga getah asli lateks dijangka kekal tinggi pada separuh pertama tahun hadapan berikutan fenomena La Nina pada Januari diikuti musim sejuk kebiasaannya pada Februari hingga Mei.

 

Siu Li menjangkan harga sarung tangan getah akan terus menurun apabila memasuki separuh pertama 2022 tetapi dengan kadar yang lebih perlahan kira-kira 5% bulan ke bulan (berbanding 10% sebelum ini) kerana harganya jatuh menghampiri paras sebelum pandemik (ASP sebelum pandemik : AS$21 per 1,000 keping; ASP semasa : AS$25 hingga AS$35).  

 

"Kami juga mendapati perbezaan harga antara pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah semakin mengecil, sekitar AS$5 perbezaan ketika ini, berbanding AS$10 sebelum ini. 

 

"Berdasarkan pandangan kami, harga sarung tangan getah kemungkinan mencapai paras sebelum pandemik menjelang suku kedua 2022," jelasnya. 

 

HLIB secara keseluruhan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah. 

 

Ia memberi saranan 'jual' bagi saham Top Glove Corp. Bhd. dengan harga sasaran (TP) RM1.56 sesaham manakala 'pegang' bagi Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. dengan TP masing-masing pada RM6.10 dan RM2.65. - DagangNews.com