Kejohanan Golf BDB Masters tawar hadiah banglo bernilai lebih RM1 juta, Perodua Ativa | DagangNews Skip to main content

Kejohanan Golf BDB Masters tawar hadiah banglo bernilai lebih RM1 juta, Perodua Ativa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Kejohanan Golf BDB Masters 2023, kejohanan golf amatur kini kembali lagi di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra, Kedah mulai 13 hingga 15 Oktober ini.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, BDB Master 2023 juga tersenarai di dalam kalendar Ranking Dunia Golf Amatur dan dijangka akan lebih meriah selepas terhenti akibat wabak pandemik COVID-19 beberapa tahun sebelum ini. 

 

Menurutnya, kejohanan golf ini dibahagikan kepada Nett dan Gross dan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Open, Intermediate dan Senior. 

 

Katanya, kategori Open, ia terbuka kepada para pemain yang memilik Handicap 0-14, manakala kategori Intermediate pula mempunyai Handicap antara 15-24 dan kategori Senior pula terbuka kepada para pemain berusia 60 tahun ke atas dengan kategori nett sahaja serta Handicap 18 ke bawah.

 

"Sasaran yang diletakkan untuk kejohanan pada kali ini ialah seramai 120 pemain dan sehingga hari ini kita sudah semakin hampir mencapai sasaran tersebut namun masih ada lagi kekosongan yang mana kami yakin ia akan dapat dipenuhi sebelum kejohanan bermula.

 

"Sambutan memberangsangkan terhadap pertandingan ini membuktikan yang BDB Masters bukan sahaja dikenali dan diiktiraf oleh pemain golf di negeri Kedah sahaja malah di seluruh negara," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Raja Shahreen berkata, BDB Masters 2023 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000 serta tarikan utama kejohanan ialah hadiah untuk pukulan “hole in one” kepada pemain yang berjaya pada hari pertama sehingga hari ketiga.

 

 

BDB
Raja Shahreen Raja Othman

 

 

Katanya, BDB Masters 2023 menawarkan hadiah yang cukup istimewa kepada pemain yang berjaya untuk membuat pukulan hole in one pada hari ketiga iaitu sebuah rumah banglo The Breeze, Darulaman Lakehome di Bandar Darulaman, Jitra ditaja oleh anak syarikat BDB iaitu BDB Land Sdn Bhd bernilai lebih RM1 juta.

 

"Di samping itu, kejohanan kali ini turut menawarkan sebuah kereta Perodua Ativa yang ditaja oleh Zurich General Insurance Malaysia Berhad bernilai RM63,000 bagi pemain yang berjaya membuat pukulan hole in one pada hari pertama atau kedua.

 

 

BDB

 

 

"Untuk itu, para pemain golf amatur di seluruh negara diseru agar tidak melepaskan peluang untuk menyertai BDB Masters 2023 dan Kumpulan BDB selaku tuan rumah akan terus komited dalam usaha untuk menawarkan pertandingan golf terbaik di kawasan utara tanah air.

 

"Ia mempunyai kelainan bukan sahaja dari segi hadiah yang ditawarkan malahan cabaran yang dapat menarik minat peserta dari dalam dan luar negara untuk turut menyertai pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com