Kelemahan dolar AS terus sokong ringgit | DagangNews Skip to main content

Kelemahan dolar AS terus sokong ringgit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Ringgit meneruskan momentum kenaikan dalam dagangan pagi ini dibuka tinggi pada RM4.0400/0450 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research berkata, dolar AS yang dijangka lemah minggu ini dilihat akan terus menyokong pengukuhan ringgit. 

 

Ini akan menolak ringgit kemungkinan melepasi paras RM4.02 berbanding dolar AS, katanya. 

 

"Ringgit telah mengukuh 4 hari berturut-turut berbanding kelemahan dolar AS sehingga ditutup 0.07% lebih tinggi pada Khamis lalu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan penguncupan lebih kecil dalam aktiviti ekonomi di United Kingdom, Jepun dan Singapura tetapi ekonomi Malaysia menguncup lebih besar ekoran pelaksanaan perintah kawalan bergerakan bersyarat sejak pertengahan Oktober. 

 

Pada Khamis, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku keempat 2020 yang menyaksikan KDNK menguncup 3.4% menjadikan keseluruhan tahun, -5.6%. 

 

Pasaran ditutup Jumaat, sempena cuti Tahun Baru Cina. 

 

Mata wang tempatan pada penutupan Khamis lalu meningkat kepada RM4.0405/0445 berbanding dolar AS daripada RM4.0420/0460 sewaktu ditutup pada Rabu.

 

Dolar AS merosot kepada paras rendah dalam tempoh 2 minggu susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Dalam laporan aliran dana kewangan mingguan, MIDF Research berkata, ringgit mengukuh sehingga 0.7% kepada RM4.041 berbanding dolar AS bagi minggu berakhir 11 Februari (berbanding RM4.070/dolar AS).

 

"Kelemahan dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah telah menyokong kenaikan ringgit bagi minggu berkenaan," katanya.

 

Menurut firma itu, harga minyak mentah Brent berakhir pada paras AS$62.43 setong berbanding AS$59.34 minggu sebelumnya, menyaksikan peningkatkan 5.2% dan paras tertinggi sejak Januari 2020.

 

Bagi prospek ringgit tahun ini, MIDF Research menjangkakan ringgit diniagakan pada purata RM4.02 berbanding sebelum ini, RM4. 

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran ringgit akhir tahun ini sekitar RM3.95 berbanding dolar AS," katanya. - DagangNews.com