Kelemahan mata wang burukkan lagi krisis makanan, tenaga di negara membangun - Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Kelemahan mata wang burukkan lagi krisis makanan, tenaga di negara membangun - Bank Dunia

WASHINGTON 27 0kt - Nilai mata wang kebanyakan ekonomi membangun yang semakin menyusut mendorong kenaikan harga makanan dan bahan api, memburukkan lagi krisis makanan dan tenaga yang sudah dihadapi oleh kebanyakan negara tersebut, menurut Bank Dunia dalam laporan Tinjauan Pasaran Komoditi yang terkini.

 

Dari segi dolar Amerika Syarikat (AS), harga kebanyakan komoditi telah menurun daripada kemuncaknya baru-baru ini di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan global yang akan berlaku.

 

Ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak Februari lalu, harga minyak mentah Brent dalam dolar AS jatuh hampir 6%.

 

Namun, disebabkan kejatuhan nilai mata wang, hampir 60% daripada pasaran baharu muncul pengimport minyak dan ekonomi membangun menyaksikan kenaikan harga minyak dalam mata wang domestik ketika tempoh ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Hampir 90% daripada ekonomi ini juga menyaksikan peningkatan yang lebih besar dalam harga gandum dalam terma mata wang tempatan berbanding kenaikan dalam dolar AS.

 

Naib Presiden Bank Dunia bagi Pertumbuhan Saksama, Kewangan dan Institusi, Pablo Saavedra berkata, harga komoditi masih lagi tinggi berbanding paras puratanya dalam tempoh lima tahun lalu walaupun semakin berkurangan daripada paras puncaknya.

 

"Kenaikan berterusan harga makanan dunia boleh memanjangkan cabaran ketidakselamatan makanan di seluruh negara membangun. 

 

"Pelbagai dasar diperlukan untuk memupuk bekalan, memudahkan pengagihan dan menyokong pendapatan sebenar," katanya dalam kenyataan bertarikh 26 Oktober 2022 di laman webnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Laporan itu mendapati kenaikan harga komoditi tenaga yang berfungsi sebagai input kepada pengeluaran pertanian telah menaikkan harga makanan.

 

Dalam tempoh tiga suku pertama 2022, inflasi harga makanan di Asia Selatan mencapai purata lebih daripada 20%. Inflasi harga makanan di wilayah lain, termasuk Amerika Latin dan Caribbean, Timur Tengah dan Afrika Utara, Afrika Sub-Sahara, dan Eropah Timur dan Asia Tengah, berpurata antara 12% dan 15%. 

 

Hanya Asia Timur dan Pasifik merupakan satu-satunya rantau yang mengalami inflasi harga makanan yang rendah, sebahagiannya disebabkan harga beras yang stabil secara amnya, makanan ruji utama di rantau ini.

 

Sejak meletusnya perang di Ukraine, harga tenaga agak tidak menentu tetapi kini dijangka menurun setelah ia melonjak kira-kira 60% pada 2022.

 

Pada 2023, ia dijangka menurun kira-kira 11%, tetapi masih 75% melebihi purata dalam tempoh lima tahun lalu.

 

 

gambar hiasan

 

 

Bank Dunia mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan berlegar pada purata AS$92 setong pada tahun hadapan, jauh melebihi purata lima tahun pada AS$60 setong.

 

Kedua-dua harga gas asli dan arang batu diunjurkan menurun pada 2023 daripada paras tertinggi tahun ini. 

 

Bagaimanapun, menjelang 2024, harga arang batu Australia dan gas asli AS masih dijangka dua kali ganda puratanya dalam tempoh lima tahun lalu, manakala harga gas asli Eropah boleh mencecah hampir empat kali lebih tinggi. 

 

Pengeluaran arang batu diunjur meningkat dengan ketara apabila beberapa pengeksport utama meningkatkan pengeluaran, meletakkan matlamat perubahan iklim berisiko. - DagangNews.com