KEMAS berjaya lahirkan 493 graduan SKM tahun ini - Mahdzir | DagangNews Skip to main content

KEMAS berjaya lahirkan 493 graduan SKM tahun ini - Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyerahkan sijil kepada seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 KEMAS di Alor Setar, Kedah pada 27 Oktober 2022.

ALOR SETAR 27 Okt - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berjaya melahirkan 493 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahun ini.

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua graduan adalah pelatih dari Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Gopeng, Perak dan Penyelia Kemahiran KEMAS.

 

"KEMAS telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program sijil dan diploma tersebut dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembanguan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia. 

 

"Program TVET di KEMAS itu memang mendapat sambutan yang tinggi daripada lepasan sekolah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 KEMAS di sini hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Abdul Kahar Abdullah.

 

Jelas Mahdzir, TVET KEMAS memberi fokus dalam bidang jahitan dan kulinari dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

 

"Para pelajarnya yang terdiri daripada belia dan beliawanis kumpulan B40, berpeluang untuk menguasai kemahiran serta memperolehi sijil dan diploma.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

"Kita membuka peluang itu untuk direbut oleh mereka yang berminat kerana kemahiran itu amat berguna kepada mereka sekaligus membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri berkaitan kemahiran yang diperolehi itu," katanya.

 

Tambah Mahdzir, KEMAS adalah satu-satunya agensi kerajaan yang melaksanakan program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5 dalam Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian. 

 

Setakat ini, KEMAS telah melahirkan seramai 2,400 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran sejak tahun 2007.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

Sementara itu pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Khas, Anugerah Ketua Pengarah, Anugerah Ketua Setiausaha (KSU) dan Anugerah Menteri kepada pelatih yang  mencapai tahap cemerlang sepanjang tempoh pengajian.

 

Untuk rekod, seramai 151 graduan adalah penerima DKM manakala 342 adalah graduan SKM. - DagangNews.com