Kemelesetan ekonomi akan jejas daya pengeluaran Tasco - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kemelesetan ekonomi akan jejas daya pengeluaran Tasco - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Feb - Tasco Berhad kekal berhati-hati dengan risiko kemelesetan ekonomi global yang semakin meningkat kerana bimbang ia akan menjejaskan daya pengeluarannya pada masa akan datang.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu merancang untuk mengurangkan penyumberan luar pihak ketiga untuk bahagian kontrak logistik (CL) dan menggunakan aset dalaman secara maksimum sekiranya berlaku penurunan permintaan secara tiba-tiba.

 

"Pada masa ini kira-kira 30% daripada perniagaannya sedang disalurkan kepada pembekal logistik pihak ketiga (3PL) yang lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan positif kumpulan itu yang diraih pada suku ketiga berakhir 31Disember 2022 (3QFY23) adalah sumbangan segmen perniagaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Tasco Berhad sebanyak RM24.7 juta pada suku ketiga berakhir Disember 2022 (3QFY23) menjadikan untung bersih bagi 9MFY23 sebanyak RM70.3 juta.

 

BACA JUGA: Untung bersih Tasco bagi 9MFY23 mengatasi unjuran MIDF Research

 

Firma itu berkata, purata kadar pengangkutan udara ke destinasi utama pada masa ini hanya kira-kira dua kali ganda lebih tinggi, manakala purata kadar pengangkutan laut lebih rendah sedikit daripada paras 2019.

 

Katanya, pengangkutan laut mengimbangi semula kelemahan permintaan pasaran khususnya bagi laluan perdagangan utama ke Amerika Syarikat (AS).

 

"Normalisasi kadar pengangkutan sebahagian besarnya diimbangi oleh peningkatan jumlah pengendalian kerana kadar pengangkutan laut lebih berpatutan dan kumpulan sedang mengkaji untuk mengunci kadar yang menggalakkan untuk suku pertama 2023," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.87 sesaham.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk tekanan inflasi ke atas operasi dan pemulihan jumlah yang lebih perlahan untuk perniagaan pengangkutannya," katanya. - DagangNews.com