Kenaikan harga bahan binaan terus jejaskan pemaju hartanah | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga bahan binaan terus jejaskan pemaju hartanah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Mei - Syarikat pemaju hartanah dijangka berdepan tekanan kos sepanjang tahun ini ekoran kenaikan harga bahan mentah. 

 

Ini membolehkan MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah walaupun menjangkakan prospek jualan yang lebih baik pada 2022. 

 

Menurut firma itu, walaupun pemaju mungkin melepaskan sebahagian kos tersebut kepada pembeli dengan meningkatkan harga jualan hartanah, tetapi mereka tetap akan berdepan tekanan margin dalam tempoh terdekat. 

 

"Namun, kos ini tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pembeli dengan mengambil kira pasaran hartanah yang lemah ketika ini. 

 

"Kenaikan harga binaan ini terutama simen dan keluli disebabkan peningkatan harga produk petroleum, yang akhirnya mengakibatkan pemaju kemungkinan menanggung kos bahan mentah yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat lalu, jumlah permohonan pembiayaan bagi pembelian hartanah adalah mendatar pada Mac 2022 sebanyak RM44.9 bilion selepas berkembang 9.2% tahun ke tahun pada bulan sebelumnya. 

 

Setakat suku pertama, ia menyaksikan jumlah permohonan pembiayaan bagi pembelian hartanah adalah sebanyak RM108.1 bilion, meningkat 4.06% tahun ke tahun, didorong pembukaan semula ekonomi.

 

Pada bulan tersebut juga, permohonan pembiayaan yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 17.8% kepada RM16.4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan pada suku pertama sebanyak RM42.4 bilion.

 

Peningkatan ini terutamanya didorong oleh permohonan pembiayaan dan peratusan yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah pinjaman dipohon sebanyak 39% pada suku pertama 2022 berbanding 34% bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi MIDF Research, jumlah permohonan dan kelulusan pembiayaan yang lebih tinggi pada Mac 2022 menggambarkan pemulihan dalam sektor hartanah kekal kukuh. 

 

"Malah, ia sejajar dengan jangkaan kami terhadap prospek jualan yang lebih baik bagi tahun ini," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Mah Sing Group Bhd. dan IOI Properties Group Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada 80 sen dan RM1.29 sesaham. - DagangNews.com