Kenaikan harga minyak lonjak ringgit | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga minyak lonjak ringgit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Harga minyak yang melonjak naik terus menyokong kenaikan mata wang tempatan dalam dagangan pagi ini apabila dibuka tinggi pada RM4.0300/0340 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Hong Leong IB Research berkata, kenaikan harga minyak ini akan terus memberi kelebihan kepada ringgit. 

 

Dolar AS pula, katanya menunjukkan prestasi yang bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain. 

 

"Untuk itu kami mengekalkan pandangan neutral (kepada lemah) ke atas dolar AS/ringgit untuk minggu ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, ringgit mengukuh berbanding dolar AS didorong kenaikan berterusan harga minyak global selain prestasi dolar AS yang susut.

 

Sewaktu ditutup pada petang Isnin, mata wang tempatan mencecah paras RM4.0320/0370 berbanding dolar AS. 

 

Sementara itu, AmBank Research berkata, ringgit memulakan kembali dagangan awal minggu semalam dengan kukuh untuk hari kelima berturut-turut setelah ditutup Jumaat sempena cuti Tahun Baharu Cina.

 

"Kami menjangkakan ringgit hari ini akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0135 dan RM4.0205 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0419 dan RM4.0501," katanya. 

 

Menurut firma itu, dolar AS kekal tidak berubah pada 90.480, paras terendah dalam tempoh 2 minggu sempena cuti Hari Presiden memandangkan para pelabur yakin ekonomi AS akan bangkit lebih cepat daripada pandemik.

 

Harga minyak pula meningkat untuk hari ke-12 berturut-turut. Brent menokok 1.39% kepada AS$63.30 setong manakala West Texas Intermediate mendatar pada AS$59.47 setong, masih di paras tertinggi setahun. 

 

"Susulan musim sejuk yang mencapai paras beku dan ribut salji merentasi AS menyebabkan telaga minyak mungkin ditutup kerana air yang dikeluarkan bersama minyak akan membekukan peralatan digunakan," katanya. - DagangNews.com