Kenanga Invenstment lancar kempen Meals That Give bantu komuniti memerlukan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Invenstment lancar kempen Meals That Give bantu komuniti memerlukan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Investment Bank Berhad melancarkan kempen ‘Meals That Give’ menerusi program komuniti The HumanKIND Project yang membantu menyokong perusahaan sosial iaitu Cafe Includes yang dikendalikan kumpulan orang kurang upaya, melalui platform pengumpulan dana dalam talian, Sedunia.

 

Program itu bukan sahaja membantu mengekalkan pekerjaan kakitangan Cafe Includes selain menyediakan makanan yang dibungkus untuk diagihkan kepada rumah anak-anak yatim dan golongan gelandangan.

 

Menerusi kempen itu, rakyat Malaysia boleh menyumbang serendah RM20 menerusi Cafe Includes di www.sedunia.me/campaigns/kenangahumankind/ dan Kenanga akan membuat padanan satu untuk satu bagi setiap sumbangan.

 

Ketua Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Kenanga, Chuah Sze Phing berkata, The HumanKIND Project  merupakan inisiatif yang bermula tahun lalu yang menyasarkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan pihaknya berbesar hati untuk meneruskan program berkenaan pada tahun ini.

 

Beliau berkata, selain memberikan sumbangan kepada masyarakat, kumpulan itu mahu mewujudkan ekosistem yang menggalakkan orang ramai memberikan sumbangan kepada merkea yang memerlukan terutama dalam keadaan sekarang. 

 

"Menerusi program ‘Meals That Give’, kami akan memberikan makanan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan pada masa sama mewujudkan kesedaran kepada masyarakat selain menyokong usaha kumpulan orang kurang upaya di Cafe Includes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

kenanga

 

Dalam perkembangan sama, kakitangan Kenanga akan mengagihkan sumbangan makanan dari Cafe Includes kepada penerima dari Persatuan Kebajikan An-Najjah Malaysia, Rumah Ozanam PJ and Pertiwi Soup Kitchen. 

 

Sementara itu, Pengasas Cafe Includes, Steven Chan berkata, tempoh dua tahun sebelum ini merupakan saat paling mencabar kerana mereka terpaksa menutup Dialogue In The Dark iaitu pusat pameran yang menjadi sumber utama pendapatan mereka akibat penularan pandemik COVID-19.

 

"Kami kemudian memberi fokus kepada penubuhan Cafe Includes yang berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli kami yang terdiri daripada orang kurang upaya dan komuniti B40," katanya.

 

Pada tahun lalu, The HumanKIND Project berjaya memperoleh 5,000 tempahan untuk Cafe Includes yang membolehkan 15 kakitangan mereka terus bekerja di cafe itu. - DagangNews.com