Kenanga ramal harga saham Pestech berpotensi cecah RM1.01, lonjakan 15% | DagangNews Skip to main content

Kenanga ramal harga saham Pestech berpotensi cecah RM1.01, lonjakan 15%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Berdasarkan petunjuk daripada sistem perdagangan Kenanga Research, harga saham Pestech International Berhad yang ditutup pada kadar RM0.875 semalam berpotensi mencecah sekurang-kurangnya paras RM1.01.

 

Ramalan RM1.01 itu sekali gus menjadi paras rintangan pertama pergerakan harga saham Pestech yang menyaksikan potensi lonjakan sebanyak 15% dengan paras rintangan kedua pada kadar RM1.11 iaitu potensi peningkatan 27%. 

 

Menurut penganalisisnya, Goh Yin Foo, harga kerugian tersukat (stop loss) saham Pestech ditetapkan pada kadar RM0.70 atau risiko penurunan sebanyak 12%. 

 

“Saham Pestech berpotensi membuat pembalikan harga tidak lama lagi dalam masa terdekat susulan penurunan dari paras tertinggi pada RM1.43 pada pertengahan Februari tahun ini hingga RM0.875 ketika ini.

 

“Menurut sistem dagangan kami, yang dibina berdasarkan indikator RSI untuk mencetuskan isyarat ‘beli’ apabila nilai RSI melepasi paras terlebih jual yang telah ditetapkan, saham ini dijangka menyaksikan lonjakan pada masa akan datang,” kata Yin Foo dalam satu nota teknikal harga saham Pestech hari ini.

 

Baca : Kontrak RTS 'laluan' lebih banyak projek antarabangsa buat Pestech - Firma

 

Keputusan yang dihasilkan daripada sistem Kenanga itu menunjukkan 13 daripada 16 amaran yang dihasilkan sejak tahun 2015 merupakan perdagangan yang menguntungkan iaitu dengan betul meramalkan keuntungan harga saham sekurang-kurangnya 13%, mewakili kadar ketepatan 81%.

 

Ini berdasarkan peraturan keluar yang ditetapkan firma, sama ada 13% keuntungan atau 10% kerugian tersukat (mana-mana yang datang dulu) daripada paras isyarat.

 

Pestech merupakan sebuah syarikat tenaga elektrik bersepadu dengan perniagaan di dalam infrastruktur pengaliran tenaga, penjanaan tenaga dan rel elektrifikasi, pengaliran aset dan produk tenaga.

 

Pada tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (FY21), kumpulan mencatatkan perolehan bernilai RM37.5 juta iaitu penyusutan 5% daripada tempoh sama pada tahun sebelumnya. 

 

“Pada masa akan datang, pasukan penyelidikan asas kami mengunjurkan kumpulan bakal mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM59.5 juta pada FY21 berakhir Jun 2021 dan RM75.7 juta pada FY22 berakhir Jun 2022.

 

“...Ini menyaksikan nisbah harga kepada perolehan (PER) iaitu 11.1x pada tahun ini dan 8.8x pada tahun depan,” tambah beliau. 

 

Setakat 11.41 pagi, harga saham Pestech menokok 0.05 sen kepada RM0.880 dengan permodalan pasaran bernilai RM668.76 juta dan jumlah saham sebanyak 764.29 juta. - DagangNews.com