Kenanga Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan TNB sebagai pilihan utama | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan TNB sebagai pilihan utama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor utiliti pada 2023 dengan pilihan utamanya ialah Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

 

Ini memandangkan daya tahan pendapatan bagi aset terkawal untuk tenaga dan gas manakala hasil penjana tenaga bebas utama (IPP) disokong perjanjian pembelian tenaga (PPA). 

 

Penganalisisnya, Joshua Ng berkata, aset berkenaan menjana aliran tunai berulang, dengan memacu hasil dividen sekitar 4 hingga 6%.

 

"Pendapatan syarikat utiliti, TNB akan disokong oleh kadar pulangan tetap sebanyak 7.3% ke atas aset terkawalnya dengan pertumbuhan permintaan tahunan 1.7% dalam Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR). 

 

"Sementara itu, kami menjangkakan gas utiliti seperti Petronas Gas Bhd. dan Gas Malaysia Bhd. berhak mendapat kadar pulangan semasa RP2 baharu bermula Januari 2023, sama seperti kuantum di bawah RP1 yang juga akan menyokong daya tahan pendapatan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi utiliti tenaga, Kenanga Research menjangkakan permintaan akan berkembang 1.8% pada 2023, lebih tingi berbanding panduan pertumbuhan 1.7% di bawah parameter RP3.

 

Pertumbuhan itu akan dipacu sebahagian besarnya oleh pemulihan dalam sektor perindustrian di Semenanjung Malaysia.

 

Firma itu turut menjangkakan kadar pulangan yang sama bagi utiliti gas memandangkan RP2 bermula pada Januari 2023 hingga 2025 berbanding RP1.

 

Di bawah RP1, kadar pulangan bagi RAB Petronas Gas ialah di bawah 8% manakala Gas Malaysia pula sekitar 7.3 hingga 7.5%.

 

Menurut Ng, dengan persekitaran operasi yang lebih baik (harga runcit yang lebih tinggi dan kos input yang stabil) di Singapura, YTL Power International Bhd. sepatutnya menjangkakan keuntungan yang mampan di PowerSeraya ditambah dengan sumbangan baharu daripada Tuaspring (mulai Jun 2022).

 

"Sementara itu, Malakof Corp Bhd. juga sepatutnya menyaksikan peningkatan kestabilan pendapatan setelah selesai kerja-kerja baik pulih pada pertengahan Februari 2022 di loji janakuasa arang batu 1,000MW di bawah Tanjung Bin Energy (TBE). 

 

"Sebaliknya, pertumbuhan pendapatan Samaiden Group Bhd. akan disokong oleh inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan kerajaan secara berterusan," jelasnya. - DagangNews.com