Kenanga Research kekal penarafan 'overweight' terhadap bahan binaan dan sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal penarafan 'overweight' terhadap bahan binaan dan sektor pembinaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kenanga Research mengekalkan penarafan 'overweight' bagi bahan binaan dan sektor pembinaan, menamakan OM Holdings Ltd, Engtex Group Berhad, Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Berhad sebagai pilihan utamanya.

 

Dalam sektor bahan binaan, firma penyelidikan itu melihat prospek positif bagi logam bukan ferus disebabkan oleh kekangan bekalan global yang berlarutan dan peningkatan permintaan yang berpunca daripada pembukaan semula China.

 

Bagaimanapun, firma itu kurang menyukai keluli disebabkan aktiviti pembinaan dan pasaran hartanah yang lemah di China.

 

"Bagi pasaran domestik, kami melihat potensi dalam pembuatan paip air kerana kerajaan bersedia untuk mempercepatkan pelaksanaan projek air di kedua-dua loji rawatan air baharu dan inisiatif pengurangan air bukan hasil," katanya daam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan panggilan 'outperform' untuk OM Holdings, dengan harga sasaran (TP) RM2.95, dan Engtex pada TP 75 sen.

 

Firma itu memilih OM Holdings kerana kelebihan struktur kos kumpulan itu berbanding pesaing antarabangsa, memandangkan aksesnya kepada kuasa hidro kos rendah melalui kontrak 20 tahun yang berakhir pada 2033.

 

Katanya, prospek pertumbuhan yang kukuh disokong oleh rancangan untuk mengembangkan kapasiti sebanyak 30% kepada 36 % kepada 610,000-640,000 tan setahun dalam jangka sederhana, dan daya tarikan syarikat kepada pelabur yang berminat dalam sumber tenaga bersih.

 

Engtex dipandang baik kerana potensinya yang besar dalam pasaran penggantian paip air tempatan, kedudukan pasaran yang dominan dalam kedua-dua paip keluli lembut dan besi mulur berdiameter besar, dan prospek pendapatan yang kukuh disokong oleh buku pesanan yang besar dan saluran paip projek baharu yang kukuh.

 

Mengulas mengenai sektor pembinaan, firma itu menjangkakan penilaian semula yang lebih meluas terhadap sektor pembinaan pada suku kedua 2023, menjelang pelancaran lebih banyak projek infrastruktur awam di dalam negara, khususnya enam projek tebatan banjir pantas yang disebut dalam Bajet 2023.

 

“Begitu juga, aliran pekerjaan sektor swasta juga menjanjikan dengan banyak kontrak pembinaan semikonduktor dan kontrak pembinaan pusat data untuk direbut.

 

"Sementara itu, keadaan operasi bertambah baik, dengan kehadiran semula pekerja asing dan pengurangan kos bahan binaan," katanya.

 

Kenanga juga mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Gamuda dengan TP RM5.15 dan Sunway Construction dengan TP RM2.13 selepas mengambil kira tempahan tertunggak dan peluang yang cerah untuk meraih projek Transit Aliran Massa 3 bernilai RM45 bilion, memandangkan rekod prestasi kukuh mereka dalam projek rel mega dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - DagangNews.com