Kenanga Research kurangkan unjuran pendapatan BP Plastics bagi FY23-24 sebanyak 14%, 9% | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kurangkan unjuran pendapatan BP Plastics bagi FY23-24 sebanyak 14%, 9%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan BP Plastics Holding Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 14% dan 9%.

 

Menurut firma penyelidikan itu, semakan semula unjuran tersebut adalah bagi mencerminkan purata harga jualan (ASP) produk komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan berikutan kelembapan ekonomi global.

 

Mengulas lanjut mengenai prospek, firma itu berkata BP Plastics kekal berhati-hati terhadap suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berikutan permintaan lemah untuk bahan pembungkusan plastik disebabkan ekonomi global tidak menentu.

 

Firma itu mengharapkan keadaan bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23), dengan mengandaikan ekonomi global semakin pulih pada masa itu, manakala dua mesin filem baharu kumpulan itu berada di landasan untuk digunakan menjelang akhir FY23.

 

“Kami difahamkan bahawa BP Plastics telah mengambil bahagian dalam pameran perdagangan plastik dan pembungkusan antarabangsa, Interpack, di Jerman baru-baru ini dan menerima pertanyaan yang menggalakkan mengenai filem regangan premiumnya,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas mengenai keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), Kenanga Research berkata ia di bawah jangkaan pada hanya 20% daripada ramalan tahun penuh firma tetapi memenuhi jangkaan pasaran sebanyak 22% daripada anggaran tahun penuh konsensus.

 

 

BACA: Untung bersih BP Plastics meningkat kepada RM8.3 juta pada 1QFY23, isytihar dividen 1.5 sen sesaham

 

 

Firma itu berkata, varians utama terhadap ramalannya datang daripada ASP yang jatuh lebih daripada jangkaan akibat kejatuhan kos resin input.

 

Firma itu menjelaskan bahawa ia menyukai BP Plastics disebabkan kedudukan kukuhnya dalam pasaran Asia Tenggara yang dijangka kekal berdaya tahan walaupun ekonomi global tidak menentu.

 

Selain itu, kumpulan itu mempunyai aliran tunai dan kunci kira-kira yang kukuh serta pengembangan kapasiti jangka panjang untuk produk filem regangan premium dan produk filem tiupan membolehkannya memanfaatkan kitaran naik seterusnya.

 

Firma itu mengulangi saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM1.23 sesaham.

 

Saham BP Plastics ditutup menaik pada sesi dagangan tengahari kepada RM1.23, menokok 1 sen atau 0.8% dengan modal pasaran berjumlah RM346 juta. -DagangNews.com