Kenanga Research semak naik unjuran untung bersih teras United Malacca kepada RM70.9 juta pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik unjuran untung bersih teras United Malacca kepada RM70.9 juta pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kenanga Research menyemak naik untung bersih teras United Malacca Bhd sebanyak 3% kepada RM70.9 juta bagi FY25 didorong peningkatan produktiviti operasi kumpulan di Indonesia yang seharusnya membantu perkembangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Katanya, mereka juga memperkenalkan ramalan untung bersih teras FY26 sebanyak RM79 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu seharusnya menikmati harga minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh sekitar RM3,800 setiap tan bagi FY25 hingga FY26 kerana imbangan bekalan dan permintaan minyak makan global kekal mencabar walaupun terdapat lebihan pengeluaran pada tahun lalu.

 

"Bekalan minyak makan dijangka terus meningkat tetapi tidak mungkin berkembang sepantas peningkatan permintaan, justeru paras inventori bagi 2024 dan 2025 berkemungkinan menurun di bawah paras yang direkodkan pada 2023.

 

"Kos pengeluaran menjadi sederhana dan harus kekal terkawal sepanjang FY24 dan FY25 kerana kos baja dan bahan api yang lebih rendah bersama-sama dengan kenaikan harga isirung sawit akan mengurangkan sebarang peningkatan dalam kos tenaga kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kenaikan 77.8% bagi keuntungan bersih suku tahunan kepada RM15.3 juta berbanding RM8.6 juta pada tahun sebelumnya.

 

Ia dipacu oleh hasil yang lebih kukuh daripada segmen perniagaan utamanya yang mengimbangi kerugian daripada aktiviti pelaburannya.

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat 26.75% kepada RM171.49 juta daripada RM135.3 juta pada 4QFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun terdedah kepada beberapa cabaran termasuk cuaca buruk, harga MSM yang lebih lemah daripada jangkaan serta kenaikan kos tenaga pekerja, baja dan bahan api.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.00 sesaham," katanya.- DagangNews.com