Kenanga Research semak semula unjuran KLCI lebih rendah kepada 1,500 mata akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak semula unjuran KLCI lebih rendah kepada 1,500 mata akhir tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Sept - Kenanga Research menyemak turun unjuran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,500 mata, lebih rendah berbanding 1,580 mata sebelum ini bagi mencerminkan kadar faedah yang lebih tinggi secara global membebankan penilaian ekuiti.

 

Ini berikutan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan unjuran kadar terminalnya kepada 4.6% pada 2023 dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 21 September 2022, daripada 3.8% yang dianggarkan pada Jun 2022.

 

Malah, firma itu menjangkakan hasil KLCI akan berkembang 11.6% pada 2023 disokong impak pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa, permintaan domestik yang kukuh dan asas rendah pada 2022 disebabkan Cukai Makmur. 

 

"Kami mengakui mungkin terdapat risiko penurunan terhadap ramalan pendapatan kami sekiranya ekonomi global tergelincir ke dalam kelembapan mendadak atau kemelesetan," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Jika kitaran hiperinflasi semasa mengikut corak simetri pada masa lalu (terutamanya pada 1974 dan 1979-1980), ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan lagi sebelum kitaran hiperinflasi semasa di Amerika Syarikat (AS) dan dunia secara keseluruhan boleh berakhir.

 

Di Eropah, walaupun harga gas telah turun lebih 40% sejak mencapai kemuncaknya pada Ogos 2022, harga gas masih 10 kali ganda lebih tinggi daripada paras yang dilihat pada 2019, mengakibatkan pengurangan pengeluaran yang meluas dalam industri berintensifkan tenaga seperti keluli, aluminium, zink, baja, simen dan pulpa & kertas.

 

Sementara itu, gangguan rantaian bekalan global belum berakhir memandangkan dasar sifar COVID-19 masih berkuat kuasa sepenuhnya di China, lebih-lebih lagi, menjelang Kongres Kebangsaan Parti Komunis China ke-20 pada pertengahan Oktober 2022.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dalam hal ini, Kenanga Research menasihati pelabur supaya mencari perlindungan dalam sektor yang dipacu dalam negeri di tengah-tengah peningkatan tekanan luar.

 

Firma itu menjangkakan dasar kerajaan akan memperkukuhkan sokongan kepada permintaan domestik dan aktiviti ekonomi sejak tercetusnya wabak COVID-19 dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini, yang dianggap sebagai belanjawan pilihan raya.

 

Menurutnya, permintaan dalam negeri kemungkinan akan terus dipacu inisiatif seperti bantuan kewangan dan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah (dengan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mungkin tidak dilaksanakan lagi buat masa ini). 

 

"Selain itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada memelihara pekerjaan sedia ada dan mewujudkan pekerjaan baharu (melalui program subsidi/penajaan gaji) dan memacu pertumbuhan pendapatan (melalui program kemahiran semula/meningkatkan kemahiran dan kenaikan gaji).

 

"Kerajaan juga akan menangani kenaikan inflasi menerusi pelbagai program subsidi terutamanya bahan api, elektrik dan minyak masak secara lebih bersasar serta melancarkan projek infrastruktur awam (yang akan memberi kesan pengganda kepada ekonomi)," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Dengan mengambil kira prospek ekonomi negara yang berdaya tahan, Kenanga Research memilih saham berkaitan perbankan, telekomunikasi, automotif, peruncit pasaran pertengahan dan syarikat kontraktor. 

 

Katanya, bank adalah proksi terbaik kepada ekonomi berdaya tahan ini, khususnya, penggunaan domestik. 

 

"Begitu juga, pendapatan syarikat telekomunikasi akan disokong oleh penggunaan domestik dan mengelakkan masalah luar (selain daripada Axiata Group Bhd. yang mempunyai operasi yang besar di luar negara).

 

"Sementara itu, pembuat/pengedar kereta mempunyai pendapatan yang kukuh disokong oleh pesanan tertunggak kira-kira 400,000 unit yang boleh mengekalkannya untuk tempoh tujuh hingga lapan bulan akan datang," katanya.

 

Firma tersebut juga percaya pelabur harus meletakkan diri mereka dalam sektor pembinaan  (kontraktor) terutama dengan menjelangnya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), meskipun tender bagi projek baharu diberikan selepas tempoh tersebut, berbanding sebelum ini.

 

"Pada masa sama, terdapat juga kes yang kukuh bagi kerajaan untuk memulakan pengembalian fiskal kitaran balas bagi melindungi ekonomi daripada kelembapan luaran," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, pilihan utama Kenanga Research ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), Petronas Chemicals Group Bhd., CIMB Group Holdings Bhd. Digi.com Bhd. Kuala Lumpur Kepong Bhd., Inari Amertron Bhd., Gamuda Bhd., Alliance Bank Malaysia Bhd., Bermaz Auto Bhd. dan Aeon Co. (M) Bhd. - DagangNews.com