Kenanga turunkan unjuran untung bersih KPJ Healthcare    | DagangNews Skip to main content

Kenanga turunkan unjuran untung bersih KPJ Healthcare   

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29Nov - Kenanga Investment Bank menurunkan anggaran untung bersih KPJ Healthcare Bhd untuk tahun kewangan 2021 dan 2022 sebanyak 19% dan 13% disebabkan bilangan pesakit yang lebih rendah dan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi daripada 30% kepada 36%.

 

Dalam nota kajiannya di sini hari ini, Kenanga  berkata, pihaknya anggaran keuntungan bersih tahun kewangan 2022 sebanyak 13% dengan mengambil kira cukai makmur yang diumumkan baru-baru ini kerana mengandaikan kadar cukai berkesan sebanyak 38% berbanding 30% sebelum ini.

 

"Kami menjangkakan pemulihan yang perlahan dari segi aktiviti hospital kerana pesakit menangguhkan mendapatkan rawatan hospital; namun, dengan aktiviti perniagaan disambung semula dan pelonggaran sekatan, aktiviti di hospital dijangka mula pulih secara beransur-ansur menjelang akhir tahun dan ke awal tahun 2022. 

 

"Namun begitu, kemunculan varian baharu COVID-19 dan lonjakan kes di luar negara mungkin bermakna pemulihan yang lebih perlahan," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Hasil untuk tempoh 9 bulan pertama tahun kewangan 2021 KPJ Healthcare meningkat 9%, disumbangkan oleh bilangan pesakit yang lebih tinggi. 

 

Kenanga berkata, walaupun terdapat peningkatan dalam hasil, kecekapan operasi optimum yang diingini masih belum dicapai kerana kos tetap yang tinggi yang terdiri daripada kos kakitangan, kos penyelenggaraan dan susut nilai/pelunasan dan kos kewangan.

 

"Akibatnya, EBITDA dan keuntungan sebelum cukai masing-masing jatuh 6% dan 40%, yang diburukkan lagi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada hospital baharu.

 

"Hospital baharu termasuklah KPJ Bandar Dato' Onn, KPJ Batu Pahat, KPJ Perlis dan KPJ Miri, kekal merugikan, menyumbang kepada EBITDA yang lebih rendah sekaligus mengheret PATAMI jatuh sebanyak 62%," katanya.

 

Firma penganalisis itu mengulangi panggilan 'Market Perform' bagi KPJ Healthcare. -DagangNews.com