Kerajaan belum bercadang kenakan cukai keuntungan modal, cukai perwarisan  | DagangNews Skip to main content

Kerajaan belum bercadang kenakan cukai keuntungan modal, cukai perwarisan 

 

 


KUALA LUMPUR 2 Nov - Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai keuntungan modal secara menyeluruh dan turut mengenakan cukai ke atas keuntungan daripada pasaran modal, jelas Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa. 

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam sidang Parlimen pagi ini sama ada kerajaan akan mengenakan cukai tersebut dan cukai harta pusaka bagi meningkatkan hasil negara.

 

Menurutnya, kerajaan juga tidak bercadang untuk memperkenalkan semula sama ada cukai harta pusaka atau cukai warisan dalam usaha meningkatkan hasil. 

 

"Bagaimanapun, melalui ucapan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan telah mengumumkan beberapa cadangan untuk menambahkan kutipan hasil antaranya, meningkatkan kadar duti setem dari 0.1% sehingga 0.15% bagi nota kontrak jual-beli saham tersenarai di Bursa Malaysia berkuatkuasa mulai 1 Januari 2022.

 

"Kenaikan kadar duti setem ini akan diimbangi dengan pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak 6% ke 
atas perkhidmatan pembrokeran berkaitan dagangan saham tersenarai," katanya. 

 

Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara one-off, dikenali sebagai Cukai Makmur kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi di bawah Bajet 2022.

 

Menerusi langkah itu, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24% dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33% bagi tahun taksiran 2022. -

 

Selain itu, kadar duti setem nota kontrak dinaikkan daripada 0.1% kepada 0.15% dan had duti setem RM200 setiap nota kontrak dimansuhkan.

 

Pada masa sama, aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan di bawah Bajet 2022. - DagangNews.com