Kerajaan laksana Cukai Keuntungan Modal pada kadar 10%, SST 8% mulai 1 Mac 2024 | DagangNews Skip to main content

Kerajaan laksana Cukai Keuntungan Modal pada kadar 10%, SST 8% mulai 1 Mac 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024. 

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5% hingga 10% ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

 

Kadar cukai perkhidmatan (SST) juga akan dinaikkan kepada 8% berbanding 6% namun peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

 

Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

 

"Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah. 

 

madani

 

"Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, kerajaan akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro. 

 

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024 manakala pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan 
menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

 

Katanya, nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois. Ini dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil. - DagangNews.com