Kerajaan perlu tingkatkan komunikasi sebelum perkenal sebarang cukai baharu – Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perlu tingkatkan komunikasi sebelum perkenal sebarang cukai baharu – Amir Hamzah

[Foto FB Kementerian Kewangan]

KUALA LUMPUR 4 Mac - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengakui kerajaan perlu meningkatkan komunikasinya sebelum melaksanakan sebarang cukai baharu.

 

Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut penting bagi mengelak kekeliruan berulang akibat kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% daripada 6% minggu lalu.

 

Amir Hamzah berkata, banyak perundingan telah dilakukan dengan pelbagai kumpulan semasa cukai perkhidmatan diumumkan dalam Bajet 2024 tahun lepas.

 

"Semasa sebarang cukai dilaksanakan, kadang-kala komunikasi boleh ditambah baik sedikit dan kami menyedari bahawa sedikut usaha perlu dilakukan dari sudut tersebut.

 

"Apabila cukai perkhidmatan ditingkatkan, kami mengehadkan kesan yang melibatkan ramai orang, dari segi makanan dan minuman (F&B) dan tempat letak kereta.

 

"Ia tidak tertakluk kepada kenaikan tersebut dan saya berpendapat bahawa langkah itu penting sebagai prinsip utama kepada kerajaan, [iaitu] meningkatkan hasil sambil mengehadkan kesannya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Pinjaman Perumahan - Inisiatif Belanjawan 2024 hari ini.

 

Amir Hamzah berkata, banyak program sedang dipertingkatkan untuk memudahkan penempatan semula dana di peringkat rendah bagi masyarakat dan membina infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat.

 

"Saya tahu orang mempersoalkan di mana kami peruntukkannya tetapi, sebagai contoh, terdapat banyak program untuk membaiki tandas sekolah. Bunyinya pelik, tetapi ia penting kerana kita mahu anak-anak ke sekolah dalam keadaan yang lebih baik,” tambahnya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa hasil yang dijana daripada kenaikan cukai itu digunakan untuk membantu penjawat kerajaan, khususnya mereka dalam angkatan tentera yang hidup dalam keadaan daif.

 

“Agihan semula berdasarkan peningkatan hasil ini adalah baik kerana ia bertujuan membantu masyarakat,” katanya.

 

Amir Hamzah menzahirkan kegusaran beliau berhubung kecenderungan mengambil untung, menyatakan bahawa sesetengah individu mengambil kesempatan daripada pengumuman kenaikan untuk menaikkan harga apabila ia tidak wajar.

 

“Saya berasa lega selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengumumkan mereka akan melaksanakan penguatkuasaan dari segi harga barang dan tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi amalan sebetulnya dari sudut perniagaan," ujar beliau.

 

Beliau menambah bahawa, orang ramai boleh memainkan peranan dan membuat laporan sekiranya mereka merasakan peningkatan harga tidak konsisten dengan kenaikan cukai perkhidmatan. - DagangNews.com