Senator Amir Hamzah bertemu 70 pelabur di UK, nyatakan kerajaan serius jadikan Malaysia hab pelaburan serantau | DagangNews Skip to main content

Senator Amir Hamzah bertemu 70 pelabur di UK, nyatakan kerajaan serius jadikan Malaysia hab pelaburan serantau

Senator Amir Hamzah Azizan mengadakan pertemuan dengan 70 pelabur dan ahli korporat UK di London. Gambar Benjamin Davies Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - Kerajaan Malaysia amat serius menjadikan pelaburan sebagai agenda nasional melalui Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang merupakan platform pemudah cara pelaburan di peringkat tertinggi, kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam pertemuan bersama pelabur United Kingdom di London.

 

Pertemuan tersebut dihadiri 70 pelabur dan ahli korporat yang berlangsung di PNB House dan Asia House, ibu kota UK itu.

 

Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Bersama Pelabur yang berlangsung dari 20 hingga 22 April.

 

Kata Amir Hamzah, MPN yang dipengerusikan Perdana Menteri dapat memastikan pelaksanaan pelaburan strategik yang berpotensi dan diluluskan melalui pendekatan "Keseluruhan Kerajaan". 

 

Katanya, MPN juga merupakan tindakan bersepadu kerajaan yang mencerminkan keseriusan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media Kementerian Kewangan yang dikeluarkan hari ini sempena mesyuarat berkenaan.

 

amir
SENATOR AMIR HAMZAH AZIZAN / Gambar Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London

 

Menerusi pertemuan itu, beliau menjelaskan kepada pelabur tindakan segera Kerajaan Malaysia untuk merangsang pelaburan strategik dalam teknologi-teknologi penting.

 

Pertama, penubuhan Jawatankuasa Strategik Semikonduktor Nasional (NSSTF) untuk memudahkan kerjasama antara Kerajaan, pemain industri, universiti, dan pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk menempatkan industri semikonduktor Malaysia di barisan hadapan dan memastikan pertumbuhan berterusan industri Elektronik & Elektrik, khususnya sektor semikonduktor, sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. 

 

Kedua, mengupayakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan serta menghapuskan halangan dan birokrasi dalam penyediaan dan aksesibiliti kepada tenaga boleh baharu terutamanya bagi industri teknologi baharu, termasuk pusat data.

 

Ketiga, pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) untuk menyokong ekosistem lebih luas bagi kluster industri Elektronik & Elektrik yang berpusat di kawasan utara, terutama di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan di Pulau Pinang serta Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah. 

 

khtp

 

"Prospek pelaburan negara telah mencapai tahap yang luar biasa, dengan pelaburan yang diluluskan melonjak kepada RM329.5 bilion pada tahun 2023, menandakan pencapaian bersejarah bagi negara (2022: RM268 bilion). 

 

Ini terutamanya terfokus dalam produk Elektronik & Elektrik dan sub-sektor maklumat dan komunikasi (ICT),” kata Menteri Kewangan II itu. 

 

Amir Hamzah berkata, sebanyak 74% projek pembuatan yang diluluskan antara tahun 2021 dan 2023 sudah selesai atau dalam proses. 

 

Selain itu, nilai besar kerja pembinaan peringkat awal yang selesai pada tahun 2023 (RM31.5 bilion) dan 2022 (RM26.3 bilion) menunjukkan trend positif untuk peluang pelaburan masa depan. 

 

“Daripada jumlah keseluruhan 5,101 projek pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023, sebanyak 81.2% atau 4,143 projek adalah dalam sektor perkhidmatan, 883 projek dalam sektor pembuatan, dan 75 projek dalam sektor utama,” katanya. 

 

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja Amir Hamzah bersempena kehadiran beliau dalam Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) 2024 di Washington DC dari 17-19 April 2024. 

 

Mesyuarat-mesyuarat ini turut dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour. 

 

Sebelum ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur antarabangsa di New York dan Washington DC dengan tujuan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap tahap ekonomi Malaysia dan memperkukuhkan persepsi serta sentimen pelaburan pelabur asing terhadap Malaysia. 

 

Tahap keyakinan yang tinggi dan sentimen pelaburan yang kukuh akan dapat meningkatkan pengaliran masuk pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara. - DagangNews.com