Kerjasama Aeon Co., Boxed tiada impak segera - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Aeon Co., Boxed tiada impak segera - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - MIDF Research tidak melihat terdapat impak kewangan yang signifikan dalam masa terdekat ini kepada Aeon Co. (M) Berhad yang menjalinkan hubungan kerjasama dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Boxed. 

 

“Kami tidak menjangkakan sumbangan yang signifikan daripada perjanjian ini dalam masa terdekat memandangkan ia mungkin mengambil sedikit masa untuk melaksanakan perancangan itu,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Pada 27 Januari lalu, Aeon Co. telah menandatangani perjanjian dengan syarikat e-perdagangan, Boxed dalam mempercepatkan tawaran perkhidmatan runcit secara maya kepada pelanggan. 

 

Perjanjian itu membolehkan Aeon Co. menggunakan penyelesaian teknologi Boxed untuk memasukkan penyewanya ke dalam strategi pertumbuhan baharu. 

 

Menurut MIDF, teknologi itu juga menggunakan mesin pembelajaran data pelanggan yang dapat meramalkan tingkah laku pembelian mereka untuk memberikan saranan khusus kepada pelanggan.

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20), Aeon Co. menyaksikan keuntungan bersih melonjak semula sebanyak +66.1% suku ke suku kepada RM27.2 juta, terutamanya didorong oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah dan +3.8% peningkatan dalam keuntungan operasi. 

 

Namun, hasil bagi suku berkenaan menyusut -7.4% suku ke suku kepada RM916.5 juta. 

 

Sepanjang tahun kewangan 2020 (FY20), Aeon Co. mencatatkan keuntungan bersih bernilai RM41.4 juta di mana melebihi unjuran MIDF (RM34.2 juta) sebanyak 121.0%.

 

“Walaupun berdepan tahun yang mencabar, Aeon Co. berjaya menambah baik margin operasinya bagi segmen pengurusan hartanahnya. Oleh itu, keuntungan operasi keseluruhan masih rendah kerana penguncupan hasil.

 

“Kami percaya bahawa struktur pengoptimuman kos mungkin lebih menguntungkan syarikat apabila industri runcit bertambah baik.

 

“Kami tidak mengubah unjuran perolehan Aeon Co. memandangkan kami sebelum ini sudah menjangkakan pemulihan perolehannya bagi FY21 dan FY22. Kami menjangkakan ketidaktentuan akan terus ada sehingga memasuki 1Q21 sebelum prospek bertambah baik pada separuh kedua 2021 (2H21),” tambah MIDF.

 

MIDF menyemak turun penarafan saham Aeon Co. kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’ sebelum ini dengan harga sasaran (TP) dikekalkan kepada RM1.18.

 

Setakat 11.41 pagi, nilai saham Aeon Co. menokok 1 sen kepada RM1.18. - DagangNews.com