Kerjasama MIDF-MIDA promosi Geran Automasi Pintar | DagangNews Skip to main content

Kerjasama MIDF-MIDA promosi Geran Automasi Pintar

 

 

KUALA LUMPUR 14 April - Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi mempromosi Geran Automasi Pintar (SAG) MIDA.

 

Ini membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) meraih manfaat daripada geran tersebut. 

 

Selain itu, kerjasama itu juga memudahkan penggunaan SAG melalui pakatan strategik.

 

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, kerjasama itu menggariskan hubungan erat antara MIDA dan MIDF serta komitmen bersama untuk menyokong syarikat yang ingin melaksanakan automasi dan pemodenan.

 

“Kita perlu meningkatkan produktiviti dan nilai tambah perniagaan Malaysia kepada tahap lebih tinggi menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, justeru, melabur dalam automasi dan pendigitalan adalah antara cara untuk mencapainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah pakatan tersebut, MIDA akan memberikan geran kepada syarikat yang layak, manakala MIDF akan menawarkan pembiayaan kepada syarikat berkenaan untuk baki perbelanjaan mereka.

 

Selain itu, syarikat yang layak dan telah menikmati kemudahan pembiayaan daripada MIDF dapat mengurangkan komitmen kewangan mereka selepas permohonan untuk SAG berjaya.

 

Inisiatif SAG, yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta, dilancarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2 Disember 2020.

 

Geran itu diberikan kepada PKS dan MTC yang layak pada asas padanan atau 50% daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum geran sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat.

 

Peningkatan dalam dua komponen iaitu produktiviti dan kecekapan, akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti mengurangkan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan dalam jumlah pengeluaran.

 

Syarikat yang berminat disaran untuk mengemukakan permohonan kepada pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA.

 

Menurut Charon Wardini, PKS dan MTC yang telah menjalankan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan sejak 12 bulan lalu layak dipertimbangkan untuk SAG.

 

“Mesin, peralatan atau perisian automatik yang dibeli melalui geran ini mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk layak mendapat insentif ini,” katanya. - DagangNews.com