Kerjasama Petronas Chemicals, Sarawak Petchem langkah progresif kekalkan dagangan petrokimia Sarawak – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Petronas Chemicals, Sarawak Petchem langkah progresif kekalkan dagangan petrokimia Sarawak – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - MIDF Research menyambut baik kerjasama Petronas Chemicals dan Sarawak Petchem meneroka potensi pembinaan loji ammonia dan urea karbon rendah di Bintulu, yang dilihat sebagai langkah progresif untuk mengekalkan perdagangan petrokimia Sarawak.

 

Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata usaha tersebut juga terus menyokong usaha Sarawak menambah bahan api rendah karbon dan hidrogen sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk menyediakan sumber tenaga lebih bersih kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.

 

Petronas Chemicals dan Sarawak Petchem Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi membangunkan loji ammonia dan urea rendah karbon di Bintulu, Sarawak.

 

Ini adalah susulan kepada pertimbangan usaha sama antara Petronas dan negeri Sarawak untuk ammonia biru berskala besar bernilai kira-kira RM4.8 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Petronas Chemicals, Sarawak Petchem jalin kerjasama teroka potensi bina loji ammonia dan urea karbon rendah di Bintulu

 

MIDF Research berpendapat bahawa loji itu dijangka menghasilkan ammonia dengan jejak karbon yang sangat rendah di bawah kos yang dioptimumkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bintulu berfungsi sebagai hab petrokimia dan perdagangan untuk bahan kimia hiliran dan produk petroleum Sarawak, serta rumah kepada beberapa penggiat industri minyak dan gas serta syarikat perladangan kelapa sawit. 

 

“Kami percaya bahawa, sekiranya usaha sama ini menjadi nyata kepada loji ammonia dan urea rendah karbon, pekerjaan di dalam bandar itu akan meningkat, seterusnya memberikan kawasan itu rangsangan sosio-ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Ia menambah bahawa inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan ekonomi di Sarawak, seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) dengan merangkumi dua sektor ekonomi utamanya, iaitu pembuatan dan pertanian.

 

Memandangkan Sarawak telah memulakan inisiatifnya dalam bahan api hidrogen, MIDF Research menjelaskan bahawa ammonia boleh digunakan sebagai pembawa, medium penyimpanan dan sumber molekul hidrogen yang digunakan untuk bahan api ini.

 

“Ini meningkatkan lagi inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan bersih Sarawak untuk kegunaan tempatan dan perdagangan serantau,” katanya.

 

Sementara menunggu potensi tekanan pasaran minyak yang tidak menentu dan ketidaktentuan permintaan petrokimia dalam jangka panjang, firma itu kekal positif terhadap prospek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Petronas Chemicals dan kecemerlangan operasi dalam usaha rendah karbonnya.

 

MIDF Research mengekalkan anggaran pendapatan dan mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) RM7.16 sesaham, berdasarkan nisbah harga pendapatan (PER) 18 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) 2024 sebanyak 39.8 sen, sementara menunggu keputusan 4QFY23 dan MoU masih di peringkat awal.

 

Pada pukul 9:54 pagi ini, saham Petronas Chemical susut 1 sen atau 0.1% kepada RM7.04 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM56.3 bilion. - DagangNews.com